Kerajaan Komited Perkasa Bela Kebajikan Anggota ATM

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan komited untuk terus memperkasakan lagi usaha bagi membela kebajikan anggota, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka terutama dari sudut perumahan selain perkhidmatan kesihatan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia termasuklah membina 513 kuarters Angkatan Tentera Tambahan Kelas Kem Lok Kawi yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, projek dengan peruntukan sebanyak RM188 juta itu akan turut dibina dengan bangunan sokongan termasuk kerja-kerja infrastuktur.

“Apabila siap kelak, anggota tentera di Kem Lok Kawi akan dapat menikmati rumah yang lebih selesa untuk diduduki bersama keluarga.

“Selain itu saya juga ingin mengingatkan pihak kontraktor agar mematuhi syarat-syarat yang termaktub di dalam kontrak dan memenuhi ekspektasi pelanggan.

“Projek- projek yang dipelawa ini adalah projek yang melibatkan fasiliti awam demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Pembinaan Rumah Kuarters Angkatan Tentera Tambahan Kelas Kem Lok Kawi disini hari ini.

Arthur berkata, pelaksanaan projek wajib mematuhi spesifikasi dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan agar projek yang diserahkan berkualiti, mengikut tempoh masa dan kos yang telah ditetapkan.

Katanya, pencapaian Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam mengeluarkan SST mencerminkan pengiktirafan Kerajaan kepada sektor pembinaan sebagai salah satu sektor penting yang menjadi teras pemulihan ekonomi negara Pasca COVID-19.

“KKR telah mengeluarkan 137 SST bernilai RM4.6 bilion melepasi sasaran yang telah ditetapkan bersempena KPI Aspirasi Keluarga Malaysia.

“Manakala bagi tahun 2021 pula, sebanyak 392 SST telah dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM18.6 bilion.” katanya.

Tambahnya lagi, SST yang dikeluarkan adalah penting dalam merancakkan ekonomi negara terutamanya ketika negara berusaha memulihkan ekonomi negara.

“Kitaran ekonomi dalam industri pembinaan akan memberikan nilai penggandaan yang banyak kepada ekonomi negara dan seterusnya memberikan manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.