Permohonan subsidi untuk penternak ayam dibuka hari ini 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA: Kerajaan membuka permohonan subsidi untuk penternak ayam pedaging dan ayam penelur, bermula hari ini hingga 6 Jun, bagi pengeluaran ayam daging serta telur dari 5 Februari hingga 5 Jun depan.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan kadar pemberian subsidi itu ialah RM0.60/kilogram (kg) untuk ayam pedaging serta RM0.05/biji bagi telur gred A, B dan C, membabitkan penternak persendirian, penternak integrator atau semi-integrator serta penternak kontrak.

Katanya, sebanyak RM528.52 juta disediakan bagi tujuan itu, dengan dianggarkan 2,255 penternak bakal menikmati pemberian subsidi berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, pembayaran subsidi akan disalurkan terus ke akaun penternak melalui Agrobank.

“MAFI akan membuat penilaian ke atas pemberian subsidi bagi memastikan proses pembayarannya berjalan lancar dan semua penternak terbabit dapat menggunakan subsidi ini untuk meningkatkan kapasiti operasi ladang serta menjamin bekalan ayam dan telur yang berterusan,” katanya.

Katanya, kerajaan amat berharap pemberian subsidi itu dapat meringankan beban penternak susulan peningkatan kos, terutama kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran, selain kos logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.

“MAFI percaya langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak, akan dapat menstabilkan kembali bekalan, sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur pada harga berpatutan,” katanya.

Permohonan subsidi boleh dilakukan di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang terdekat dengan ladang penternak, manakala borang dan garis panduan permohonan boleh didapati melalui portal rasmi JPV (https://www.dvs.gov.my/index.php/announcements/view/105). –

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *