Lima Syarikat Jalin Kolaborasi Tingkat Kualiti Hasil Pertanian

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 17 Second

KUALA LUMPUR : Kolaborasi lima buah syarikat dalam pembinaan satu model farm low land (tanah rendah) berserta Pusat Latihan (Incubator-Center) yang pertama di Malaysia diyakini mampu meningkatan kualiti hasil pertanian.

Selain itu ia juga diyakini mampu mengurangkan penggunaan racun sintetik yang berlebihan dan membuka lebih banyak peluang pasaran dalam dan luar negara.

Pembinaan itu turut dicadangkan di Projek Pertanian Moden Kluang Johor dan kolaborasi itu turut dimeterai pada Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara ABS Greentech Sdn. Bhd., Lentiz Education Group, Priva Horticulture B.V., Powerplants Australia Pty Ltd. dan Rijk Zwaan.

Model Farm ini akan digunakan untuk menjalankan aktiviti pertanian moden dan latihan yang berasaskan penggunaan kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM).  

IPM juga merupakan salah satu kriteria dalam pensijilan amalan pertanian baik (myGAP) untuk menjamin kualiti dan keselamatan produk pertanian yang dihasilkan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Majlis Penandatanganan MoU itu merupakan antara usaha berterusan MAFI dalam penambahbaikan program pengurusan perosak tanaman yang merupakan salah satu fokus utama MAFI.

Katanya, ianya juga dapat memastikan pengeluaran produk tanaman negara memenuhi visi keselamatan makanan dan sekuriti makanan seperti yang dihasratkan dalam Dasar Agromakanan Negara, 2021-2030 (DAN 2.0).

“Melalui kerjasama ini, usahawan khususnya petani muda akan diberi latihan jangka pendek dalam pengurusan tanaman terutamanya melibatkan penggunaan teknologi terkini bagi aktiviti agronomi dan program pengurusan perosak yang lebih mesra alam, menjimatkan dan selamat untuk biodiversiti kita,” katanya.

Berdasarkan kepada maklumat terkini daripada pihak Food and Agriculture Organization (FAO), perosak dan penyakit tanaman telah mengakibatkan kerugian ketara hasil tanaman makanan sebanyak 20 hingga 40 peratus dan turut mencatatkan kerugian dalam perdagangan produk pertanian dunia melebihi USD 220 bilion atau bersamaan dengan hampir RM 1 trilion setahun.

Di Malaysia sendiri, pelbagai masalah serangan perosak dan penyakit invasif telah direkodkan saban tahun. Sejak lima tahun kebelakangan ini, tanaman di Malaysia telah diserang oleh pelbagai jenis perosak invasif antaranya Kumbang Merah Palma (Red palm weevil – RPW) pada tanaman kelapa, penyakit Hawar Bulir Bakteria (Bacterial panicle blight – BPB) pada tanaman padi dan yang terkini ulat ratus Fall Armyworm (FAW) pada tanaman jagung.

Ketiga-tiga perosak ini telah menyebabkan kerugian hampir RM10 bilion kepada bukan sahaja hasil tanaman dan perdagangan, malah mengakibatkan kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM5 juta untuk aktiviti kawalan dan pemusnahan haiwan perosak di seluruh negara dalam tempoh 5 tahun tersebut.

Pada masa yang sama, perosak tanaman sedia ada seperti thrips, lalat buah, scale insects, mites dan leafminertelah memberi kesan ekonomik kepada tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan negara terutamanya kepada produk yang berpotensi tinggi untuk dieksport.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa memberikan sepenuh sokongan bagi inisiatif seumpama ini yang menjadi  bukti komitmen pihak industri dalam menyokong inisiatif kerajaan dalam melaksanakan pengurusan perosak secara mampan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *