U-Science UMS, Pusat Sains Negara bincang kerjasama strategik jangka panjang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: U-Science, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima rombongan lawatan kerja daripada Pusat Sains Negara (PSN) baru-baru ini.

Ketua U-Science, Zawawi Datuk Tiyunin berkata, kunjungan tersebut antara lain bertujuan untuk membincangkan kerjasama strategik selain sesi perkongsian maklumat antara kedua belah pihak.

“Semasa menerima kunjungan ini, kita telah memberi penerangan tentang usaha-usaha yang dijalankan U-Science termasuk pameran STEM Exhibit@UMS: The Beginning yang berlangsung sejak 23 Mac hingga 27 Mei 2022.

“U-Science juga telah menyatakan hasrat kepada PSN untuk memeterai kerjasama lebih mendalam seperti menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menguatkan lagi hubungan kerjasama dua hala,” katanya.

Zawawi berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, buat masa ini, PSN juga telah menempatkan beberapa bahan di ruang pameran U-Science.

“Selain itu, Pusat Sains Negeri sedang menilai keberfungsian dan kesesuaian beberapa bahan pameran lain untuk dipindahkan ke sini.

“Dengan kerjasama yang lebih strategik, saya percaya penganjuran program-program untuk membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat Sabah boleh dirangka dan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” jelasnya.

Rombongan PSN yang diketuai Penolong Pengarah Seksyen Pameran, Norhafeza Husain turut dibawa melawat ke Taman Eko Sains Sekolah Kebangsaan Kundasang, dan Taman Budaya dan Inovasi Kundasang (TABIK).

Zawawi berkata, ia bagi memperlihatkan projek yang dibangunkan U-Science bersama masyarakat di kawasan tersebut.

“Kita berterima kasih atas kesudian PSN untuk membuat lawatan kerja dengan UMS.

“Terima kasih kepada semua yang datang termasuklah Penolong Jurutera PSN, Muhaizam Hamzah; Juruteknik, Abd. Shukor Al-Fariz Ahmad Sayuti; dan Pembantu Kemahiran, Alisa Cussey Murphy,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zawawi juga mempelawa orang ramai ke Pameran STEM Exhibit@UMS: The Beginning yang kini dibuka kepada umum secara percuma.

Katanya, pameran itu diadakan  bertempat di U-Science,  Bangunan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah sehingga 27 Mei 2020.

“Pameran akan dibuka setiap hari kecuali hari Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula pukul  9.30 pagi – 4.00 petang.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dimajukan ke e-mel [email protected],” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *