HomeIsu tempatanCubaan seludup 4,080 kg minyak masak bersubsidi dipatahkan

Cubaan seludup 4,080 kg minyak masak bersubsidi dipatahkan

Read Time:1 Minute, 34 Second

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 4,080 kilogram minyak masak bersubsidi selepas menahan sebuah bot kargo di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem pada jam 10.15 malam kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, penahanan dibuat berikutan maklumat awam berkaitan aktiviti mencurigakan di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem.

“Berikutan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi bersama pasukan darat bagi pemeriksaan dan serbuan.

“Hasil serbuan melalui laut dan darat telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan bersama empat warga asing berusia diantara 20 ke 50 tahun,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Nik Mohd Rizam berkata, ketika serbuan, kesemua suspek didapati sedang memunggah kotak berisi minyak masak dari lori ke bot dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Selain itu katanya, sebuah bot kargo, dua buah lori berisi 240 kotak minyak masak dianggarkan berjumlah 4080 kilogram dan dua buah motosikal yang digunakan di dalam kegiatan ini turut dirampas.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM 234,096,” katanya.

Katanya, berdasarkan kuota pembelian minyak masak bersubsidi yang dibenarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi setiap isi rumah adalah sebanyak dua kilogram sahaja di dalam satu masa.

“Kegiatan haram ini telah memberi kesan kepada 2,040 buah keluarga di Sabah dan daerah Lahad Datu khususnya,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Mohd Rizam berkata, semua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu.

“Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya