HomeUtamaKerajaan Persekutuan Digesa Teliti Harga Tiket Penerbangan Yang Tinggi

Kerajaan Persekutuan Digesa Teliti Harga Tiket Penerbangan Yang Tinggi

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) menggesa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan untuk meneliti isu kenaikan harga tiket penerbangan yang tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tambang penerbangan yang tinggi telah meningkat dengan ketara sehingga membebankan orang ramai yang terpaksa terbang ke Kuala Lumpur dari sini atau sebaliknya.

Hajiji turut menggesa Kerajaan Persekutuan mengurangkan harga tambang penerbangan domestik.

“Sama ada untuk bekerja atau beriadah, tambang penerbangan yang tinggi telah memberi cabaran kepada individu dan keluarga.

“Ini juga tidak sesuai dengan aspirasi untuk membawa lebih ramai pengunjung ke Sabah memandangkan sempadan negara telah dibuka semula pada 1 April,” katanya.

Menurut Hajiji, Kabinet Negeri telah membincangkan perkara itu semasa mesyuarat mingguannya di sini hari ini dan melihat kenaikan tambang penerbangan yang keterlaluan.

Beliau berkata, laporan kenaikan harga tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah baru-baru ini semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri telah menimbulkan kebimbangan dan Kerajaan Negeri mahu Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan meneliti perkara itu.

“Kami menggesa Menteri Pengangkutan melihat perkara itu segera dan mengurangkan harga tiket yang dilaporkan melonjak kepada sekitar 566 peratus berbanding tambang penerbangan bukan musim perayaan untuk laluan yang sama.

“Ramai rakyat Sabah sama ada belajar atau bekerja di semenanjung dan kebanyakan mereka mahu pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

“Tetapi dengan harga tiket penerbangan yang melambung tinggi, ramai yang tidak dapat pulang ke tanah air semata-mata kerana tidak mampu. Ia membebankan rakyat, justeru, kami di Kabinet Negeri merasakan pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak,” tegasnya.

“Terdapat juga laporan bahawa harga tiket penerbangan ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau adalah lebih mahal daripada beberapa destinasi antarabangsa dari Kuala Lumpur,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya