Maritim Malaysia bergambar bersama anak-anak yatim.

Maritim Sabah Raikan Anak-anak Yatim Menjelang Hari Raya Aidilfitri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

SANDAKAN: Menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mengambil kesempatan berkongsi kemeriahan bersama anak-anak yatim dan juga komuniti maritim.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bersempena penghujung Ramadhan yang mulia, warga Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengagihkan sumbangan duit raya kepada seramai 48 anak-anak yatim dari Rumah Amal Selawat Nabi, Sandakan.

warga Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengagihkan sumbangan duit raya kepada seramai 48 anak-anak yatim dari Rumah Amal Selawat Nabi, Sandakan.

Katanya, program amal seperti ini merupakan program tahunan bagi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan setiap kali menjelang bulan Ramadhan serta Aidilfitri.

Selain meraikan anak-anak yatim, warga Maritim Negeri Sabah turut memberikan sumbangan kurma dan bakul makanan kepada komuniti maritim berdekatan. Penyampaian sumbangan bingkisan raya kepada semua warga Zon Maritim Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan ESSCOM turut diagihkan kepada yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri.

Terdahulu, sumbangan bingkisan raya telah disampaikan kepada warga Ibupejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Zon Maritim Labuan serta Zon Maritim Kudat di dalam majlis berasingan yang diadakan di atas Kapal Maritim (KM) Arau.

“Biarpun dikala kemeriahan sambutan Aidilfitri yang telah dua tahun tidak dapat diraikan secara normal, namun pegawai dan anggota Maritim Malaysia akan terus bertugas seperti biasa.

“Pengoperasian kapal dan bot juga akan tetap menjalankan operasi-operasi yang telah dirancang terutamanya dalam melaksanakan OP KHAS PAGAR LAUT sempena musim perayaan ini,” kata Mohd Rosli.

Menurutnya lagi, Maritim Malaysia akan mempertingkatkan lagi operasi menerusi OP KHAS PAGAR LAUT bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan barang kawalan, dadah dan jenayah rentas sempadan.

Justeru itu, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim agar sentiasa menjaga keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut dimusim perayaan ini. Pengusaha-pengusaha bot penumpang juga dinasihatkan untuk sentiasa mengutamakan nyawa dan keselamatan penumpang.

“Dalam pada itu, Maritim Negeri Sabah berharap tragedi bot penumpang yang karam di perairan Semporna di bulan Ramadan baru-baru ini dijadikan ikhtibar kepada semua.

“Komuniti maritim diseru untuk terus memberi kerjasama kepada Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang kegiatan jenayah di laut di talian 088-387774 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *