COVID-19 : 16 daerah tidak rekod kes baharu

Read Time:55 Second

KOTA KINABALU : Tidak ada sebarang jangkitan baharu direkodkan di 16 buah daerah di negeri ini dalam tempoh 24 jam lalu dan hanya sebanyak 22 kes dilaporkan pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes harian yang dilaporkan hari ini adalah empat kes lebih rendah daripada jumlah semalam.

“Keadaan di semua daerah di Sabah kekal stabil dan terkawal. Tidak ada jangkitan baharu dilaporkan di 16 daerah dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Lapan daripada  11 daerah yang merekodkan jangkitan baharu masing-masing mencatatkan hanya satu kes baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah jangkitan baharu tertinggi dengan lapan kes (+2), Penampang empat kes (-1) dan Papar dua kes (+2).

Katanya, secara perbandingan, 10 daerah mencatatkan penurunan jumlah kes baharu dan tujuh daerah merekodkan peningkatan kes.

“Sebanyak 10 daerah lain kekal dengan angka catatan semalam. Seramai 18 orang daripada 22 pesakit baharu adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, seorang pesakit dalam Kategori 3 dan tiga orang pesakit dalam Kategori 4.

“Tidak ada pesakit dalam Kategori 5 dilaporkan hari ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.