COVID-19 : Kes harian diramal akan bertambah pada Aidilfitri, Pesta Kaamatan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU : Kes harian jangkitan COVID-19 di Sabah telah diramal lebih awal akan bertambah semasa sambutan Aidilfitri dan Kaamatan tahun ini apabila sebanyak 38 kes dilaporkan pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu merupakan pertambahan sebanyak sembilan kes berbanding semalam.

“Seperti yang telah ramalkan lebih awal, kes jangkitan harian akan bertambah semasa sambutan perayaan Aidilfitri dan Kaamatan.

“Pertambahan kes hari ini masih dianggap rendah dan terkawal. Malah jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan dan penurunan adalah sama iaitu masing-masing sembilan daerah,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata, jumlah daerah dengan catatan yang sama seperti semalam juga kekal sembilan daerah.

Katanya, Kota Kinabalu kembali mencatatkan jangkitan harian dua angka dengan 19 kes (+10).

“Peningkatan kes di Kota Kinabalu menjadi faktor utama yang mempengaruhi lonjakan angka kes baharu Negeri Sabah.

“Sebanyak 10 daerah  mencatatkan kes satu angka dengan enam daripada daerah-daerah tersebut hanya mencatatkan satu kes. Tidak ada kes baharu dilaporkan di 16 daerah lain dalam tempoh 24 jam yang lalu,”katanya.

Katanya, seramai 33 daripada 38 pesakit adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, dua pesakit dalam Kategori 3, dua pesakit dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *