Kuasai pelbagai bahasa mampu tingkat kebolehpasaran individu – Jahid

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

TAMPARULI: Kelebihan menguasai pelbagai bahasa dengan baik dan lancar mampu meningkatkan kebolehpasaran individu sekali gus membuka peluang kerjaya di dalam dan luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan dalam mendepani era globalisasi.

Katanya, ini adalah bagi meningkatkan lagi daya saing hingga ke peringkat global.

“Sering kali menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi adalah untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti, hanya kerana masalah penguasaan bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program English For Employability Level 1 Tajaan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (KSTI), di Dewan Muhibbah Kampung Kosusu Kionsom, disini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kosusu Kionsom, Jamuni Mandakal, Pengerusi JPKK Kampung Topokon, Mary Martin, Ketua Kampung Kosusu Kionsom, Sopioh Ombon, dan tenaga pengajar, Evhytra Jilias.

Jahid berkata, memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah penting sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan di negara ini.

“Kursus seumpama ini pastinya akan memberi keyakinan kepada para peserta untuk berurusan, apatah lagi jika berpeluang bekerja atau melanjutkan pelajaran ke luar negara kelak.

“Tahniah kepada semua peserta kerana telah sanggup berkorban masa selama empat jam sehari, semata-mata untuk mendalami ilmu bahasa Inggeris, dan memberi sambutan yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Justeru, Jahid menyeru kepada semua remaja belia yang hadir agar menggunakan segala ilmu yang diperolehi mereka sebaik mungkin.

“Betapa pentingnya kita mempunyai ilmu dan kemahiran sebelum menempuhi alam pekerjaan,” katanya.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, memuji JPKK di kampung itu yang telah menjaga dan memelihara sepenuhnya dewan mereka untuk kegunaan bermanfaat selain turut ‘dimasyarakatkan’ kepada penduduk kampung mengadakan majlis keramaian.

Seramai 25 peserta telah menamatkan kursus itu yang merangkumi sebanyak 25 sesi pembelajaran, di bawah kelolaan Pusat e-Desa Topokon.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *