HomeUtamaOp Selamat 18 : 16,376 saman dalam tempoh 10 hari di Sabah

Op Selamat 18 : 16,376 saman dalam tempoh 10 hari di Sabah

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU : Polis Sabah berjaya mengeluarkan sebanyak 16,376 keping saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik sepanjang 10 hari Op Selamat 18 dijalankan sehingga Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Dato Idris Abdullah berkata, jumlah saman itu direkodkan bermula 29 April lalu dan hasilnya menunjukkan sedikit penurunan berbanding Op Selamat 15 yang merekodkan sebanyak 16,969 saman dengan penurunan sebanyak 593 keping saman.

“Tujuan utama Op Selamat 18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah untuk membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan jalanraya serta menangani kesesakan lalu lintas.

“Selain itu pemantauan ke atas rumah kediaman dilakukan terutamanya yang tidak berpenghuni kerana bercuti atau pulang ke kampung halaman adalah di bawah tanggungjawab Ketua Polis Daerah,” katanya dalam kenyataan di sini hari  ini.

Idris berkata, sepanjang Op Selamat 18, sebanyak 509 kes kemalangan telah dilaporkan berbanding 472 kes pada Op Selamat 15 iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 37 kes.

Katanya, bagi kemalangan maut, sebanyak enam kes dilaporkan pada Op Selamat 18 berbanding 14 kes pada Op Selamat 15 iaitu menunjukkan penurunan sebanyak lapan kes.

Manakala bagi jumlah operasi pula, sebanyak 242 operasi pada Op Selamat 18 telah dilaksanakan berbanding 221 operasi pada Op Selamat 15 dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 21 operasi yang telah dijalankan.

“Sementara itu, bagi jumlah kutipan kompaun, sebanyak RM65,300 kompaun telah berjaya dijelaskan. 

“Manakala bagi jumlah tangkapan keseluruhan sepanjang Op Selamat 18 pula adalah sebanyak 33 kes tangkapan yang melibatkan Akta Pengangkutan Jalan (30 Kes), Akta Kanun Keseksaan (02 Kes) Dan Akta Pendaftaran Negara (01 Kes),” katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, meskipun Op Selamat 18 berakhir 8 Mei lalu, pihaknya melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah akan terus mengambil pendekatan yang maksimum berkaitan keselamatan lalulintas.

Katanya, penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan kadar kemalangan di Sabah menurun.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya