HomeUtamaMID, DPUS, Fasarina Express Mart jalin kerjasama pasar produk IKS Sabah di...

MID, DPUS, Fasarina Express Mart jalin kerjasama pasar produk IKS Sabah di Labuan

Read Time:2 Minute, 11 Second

LABUAN: Lebih banyak produk-produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah kini boleh didapati di pulau ini dengan terjalinnya kerjasama pemasaran antara Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), Dewan Perniagaan Usahawan Sabah (DPUS) dan Fasarina Express Mart.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam mengumumkan perkara itu berharap agar rakyat di Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan dapat menyambut baik akan pelaksanaan program ini.

“Semoga objektif program ini tercapai dan seterusnya memberi impak kepada usahawan IKS termasuk pembangunan ekonomi di negeri Sabah dan juga W.P Labuan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Jamuan makan tengah hari sempena lawatan kerjanya ke Fasarina Express Mart di sini hari ini.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Fasarina Express Mart kerana memberi peluang kepada produk usahawan IKS Sabah dipasarkan di W.P Labuan, beliau berkata, ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk memperhebat lagi promosi dan pemasaran produk IKS Sabah menerusi Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah dengan slogan “Belilah Barangan Buatan Sabah, Mantap Bah Ini Gaman”.

“Ini juga selari dengan program yang telah dirancang oleh Kementerian iaitu Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah dengan menetapkan sasaran hasil jualan pada tahun ini sebanyak RM25 juta.

“Kempen ini merupakan salah satu inisiatif MID di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025. Kementerian saya telah menyusun 17 program yang akan dilaksanakan pada tahun ini. Kempen ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah pada 27 Januari 2022 yang lalu di daerah Ranau dan salah satu tujuan kempen ini dilaksanakan adalah untuk menyemai semangat patriotisme dan rasa bangga rakyat Sabah terhadap barangan buatan tempatan,” ujarnya.

Dr Joachim berkata, selain W.P Labuan, MID melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) juga akan menandatangani dua memorandum persefahaman (MOU) pada 27 Mei ini.

Jelasnya, MOU tersebut adalah antara DIDR dan Pasaraya GM Klang Wholesale City dan Segi Cash & Carry Sdn Bhd.

“Program ini akan memasarkan produk usahawan IKS Sabah ke pasaraya di Semenanjung Malaysia. Saya juga difahamkan, Pasaraya Segi adalah sebuah pasaraya tempatan yang mempunyai 56 cawangan di seluruh negeri di Selangor dan juga Perak,” katanya.

Beliau berharap, dengan terlaksananya program ini juga penduduk asal dari Sabah yang menetap di W.P Labuan dan Semenanjung Malaysia akan dapat melepaskan kerinduan kepada makanan asli tempatan Sabah seperti ikan tausi, sambal tuhau, sambal bambangan, pes soto dan pelbagai lagi makanan tempatan yang diusahakan oleh usahawan IKS Sabah.

“Saya sangat mengalu-alukan kerjasama ini kerana dengan cara ini Kementerian dapat membantu menaiktaraf sosio-ekonomi dan meningkatkan hasil eksport negeri Sabah,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd. Tamin Zainal; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Benedick Bisoni; Pengarah DIDR, Tseu Kei Yue serta beberapa pegawai Kementerian.

RELATED ARTICLES
Utama

Pindaan Ordinan Buruh Sabah diluluskan selepas 20 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular