SKM giat lancarkan promosi Sambutan 100 Tahun Koperasi Peringkat Negeri di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah sedang giat mempromosikan Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri sempena  100 Tahun Koperasi dengan tema ‘100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia’ yang akan berlangsung selama tiga hari bermula  3 hingga 5 Jun 2022, di Palm Square, Centre Point, Kota Kinabalu.

Pengarah SKM Sabah, Matias Kundapin berkata, sambutan ini diadakan bagi memperingati 100 tahun penubuhan industri koperasi yang merupakan  koperasi kredit pertama di Malaysia dengan nama syarikat Bekerjasama Jimat Cermat dan Pinjaman Wang Pekerja-pekerja Jabatan Pos dan Telekom Berhad telah ditubuhkan pada 21 Julai 1922.

Manakala di Sabah, katanya, koperasi pertama yang didaftarkan ialah The Lubak Co-operative Stock Rearing Society Limited pada 20 April 1959. Namun sehingga ke hari ini, hanya Koperasi Green Sabah Berhad yang bertahan dan bertapak selama 63 tahun di Sabah. Didaftarkan pada 18 Ogos 1959 dan menjalankan aktiviti pertanian, hartanah dan kewangan.

Antara objektif utama sambutan itu adalah untuk memberi pengiktirafan sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, mengiktiraf koperasi sebagai entiti Social Solidarity Enterprise (SSE) yang bertindak sebagai ejen penyatuan sosial dan masyarakat serta mempromosikan konsep berkoperasi sebagai satu institusi keusahawanan.

Menurut Matias, diperingkat negeri Sabah, Hari Koperasi Negara (HKN) disambut dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan  dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi kerajaan yang lain seperti Institut  Koperasi Malaysia Zon Sabah (IKMa), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Pembangunan Perindustrian & Penyelidikan Sabah (DIDR), TEKUN Nasional Cawangan Sabah, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Sabah, Bank Rakyat dan Koperasi Coop Bank Pertama Berhad (CBP) Cawangan Sabah.


“Fokus penganjuran HKN kali ini untuk menghimpunkan produk dan perkhidmatan koperasi di Negeri Sabah agar dapat dipromosikan kepada rakyat Sabah khususnya kepada pengunjung di Centre Point, Kota Kinabalu. Disamping menyambut sambutan 100 tahun gerakan koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran promosi Sambutan 100 Tahun Koperasi Peringkat Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar & Pembangunan), SKM, Datuk Umar Sarim Saidin di Hotel Palace, di sini, hari ini.

Antara aktiviti sempena sambutan HKN  iaitu Pameran Agensi dan Jualan Produk Koperasi dan Usahawan, Bicara Ilmu “Koperasi Wadah Sosioekonomi Rakyat”, Forum Perdana “Kepentingan Berkoperasi Dalam Perspektif Islam”, Demo Produk Koperasi, Taklimat dan Klinik Keusahawanan oleh ANGKASA/DIDR/TEKUN dan Penyampaian Anugerah Kepada Koperasi Terbaik dan Tokoh Koperasi.

Matias turut mewar-warkan kepada orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang penganjuran dan pengisian HKN ini boleh menghubungi pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sabah di Talian 088-216022 atau menerusi Facebook iaitu Promosi Gerakan Koperasi Sabah.

Sementara itu, Umar berkata, lebih 300 ahli koperasi di Sabah akan turut bersama-sama menyambut gerakan koperasi ini.

“Gerakan koperasi ini mengambil manfaat untuk mengenang 100 tahun pengalaman-pengalaman yang ada dan kita fokus pula kepada masa depan selepas 100 tahun untuk gerakan koperasi seluruh negara agar lebih maju dan cemerlang.

“Kita mahu koperasi-koperasi seluruh negara ini lebih mengutamakan aktiviti-aktiviti yang memberi impak kepada rakyat, ahli-ahli dan negara kita. Fokus sekarang ini adalah kos sara hidup iaitu mengatasi masalah-masalah kos harga dan sebagainya, kita mengambil aktiviti-aktiviti koperasi dalam bentuk moden, digital, sistem penghantaran dan lain-lain khususnya koperasi-koperasi dalam negeri Sabah ini jangan ketinggalan daripada negeri-negeri lain di Semenanjung,” katanya.

Dalam pada itu, dua acara utama akan dilancarkan iaitu sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Julai 2022 di Matic, Jalan Ampang Kuala Lumpur, manakala hari kemuncak sambutan 100 Tahun Koperasi & Hari Koperasi Negara 2022 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 28 hingga 30 Julai 2022 di Mines International Exhibition Centre, Seri Kembangan, Kuala Lumpur.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *