HomeIsu tempatanKudat berpotensi dibangunkan untuk pelancongan desa

Kudat berpotensi dibangunkan untuk pelancongan desa

Read Time:1 Minute, 58 Second

KUDAT : Daerah ini mempunyai pelbagai potensi untuk dibangunkan khususnya dari segi pelancongan luar bandar.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata, ini disebabkan keindahan dan kecantikan alam semulajadinya selain pulau-pulau yang mempunyai cerita unik tersendiri.

Katanya, daerah ini juga turut digelar sebagai ‘Bali of Borneo’ disebabkan persamaan aktiviti produk pelancongan yang mampu menarik pelancong luar negara jika dikembangkan.

“Bali terkenal dengan kebudayaan dan aktiviti sukan papan luncur air atau ‘surfing’. Kudat juga mempunyai semua itu dengan pantai yang jernih dan ombak yang sesuai untuk aktiviti ‘surfing’.

 “Namun, ini terpulang kepada komuniti untuk mempopularkan Kudat dan menonjolkan keunikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan,” katanya pada pelancaran Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut di sini, semalam.

Hadir sama, Persatuan Persekutuan Pelancongan Luar Bandar Sabah , Walter Kandayon, Ketua Kampung Tajau Laut, Lamat Alip; Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Tajau Laut, Abdul Salleh; dan  presiden Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut, Junaidi Awang Bulat.

Joniston, yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, berkata pihak Kementerian dan Lembaga sentiasa bersedia membantu mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di Kudat.

“Dalam pada itu juga, komuniti setempat harus melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai destinasi-destinasi dan aktiviti-aktiviti menarik yang boleh diperkenalkan kepada pengunjung luar apabila mereka datang ke sini. 

“Saya amat berbangga melihat komuniti Tajau Laut mengamalkan semangat perpaduan dan bersatu hati mengusahakan aktiviti pelancongan. Saya juga melihat Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut ini boleh menjadi contoh kepada kampung-kampung lain di Kudat.

“Kesatuan dan kerjasama ini amat penting, lebih-lebih lagi apabila pelancong datang untuk melihat dan mempelajari sendiri bagaimana komuniti kampung mewujudkan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau turut berkata Kudat telah mendapat manfaat daripada bantuan kewangan khas Kerajaan Negeri bagi membantu pengusaha pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Bagi daerah Kudat, seramai 16 pengusaha telah berjaya memohon bantuan peruntukan khas yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM305,930 dan Tajau Laut Guesthouse merupakan salah satu penerima. 

Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut ditubuhkan setahun lalu untuk menggalakkan penduduk kampung mengambil bahagian dalam membangunkan Kampung Tajau Laut menjadi produk pelancongan baru.

Pada masa ini, kampung ini hanya mempunyai sebuah penginapan pelancong iaitu Tajau Laut Guesthouse yang dikendalikan oleh Junaidi.

Pelancong dan pelawat boleh menikmati aktiviti snorkeling, berkayak, memancing, pemuliharaan karang, dan memasak, antara lain di Kampung Tajau Laut.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KAFA UMS komited fokus kemenjadian murid seimbang ilmu, adab dan sahsiah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya