Kerajaan Sabah komited perkasa sistem pendidikan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

SANDAKAN:  Kerajaan komited untuk terus memperkasakan lagi sistem pendidikan di Sabah menerusi beberapa inisiatif berjumlah RM35 juta.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pemberian inisiatif bernilai RM35 juta itu merangkumi Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah (BAGUS), Bantuan Ikhsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA).

Katanya, kerajaan turut berharap menerusi inisiatif itu akan dapat memperkasa dan melonjakkan lagi mutu sistem pendidikan negeri ini.

“Inisiatif BAGUS merupakan bantuan berjumlah RM2,000 secara one off diberikan kepada PIBG sekolah bagi membantu melaksanakan aktiviti-aktiviti telah dirancangkan.  

“Sebanyak 1,500 PIBG akan dapat menikmati inisiatif ini termasuk PIBG sekolah kebangsaan, sekolah menengah, sekolah agama negeri juga PIBG sekolah cina. 

 “Inisiatif BISBAH pula merupakan bantuan Alat Bantu Mengajar (ABM) kepada sekolah bagi memudahkan pelaksanaan mengajar kepada murid, bantuan ini termasuklah peralatan komputer, mesin pencetak, meja dan juga kerusi yang dijangka memberi faedah kepada 1,500 buah sekolah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Malam Jalinan Kasih Aidilfitri di Masjid Daerah Sandakan di sini baru-baru ini.

Mohd Arifin berkata, bagi inisiatif AKSA iaitu Anugerah Khas Kerajaan Negeri akan memberi pengiktirafan kepada anak-anak Sabah yang cemerlang dalam bidang Ko Kurikulum samada dari peringkat negeri mahupun antarabangsa.

Katanya, satu lagi bantuan yang telah diluluskan oleh Ketua Menteri yang kini dalam pelaksanaan iaitu bantuan RM100 kepada kanak-kanak yang lahir pada tahun ini.

“Ketua Menteri juga telah meluluskan bantuan RM100 kepada kanak-kanak yang lahir pada tahun ini sebagai tabung persekolahan mereka dan ini merupakan inisiatif yang baik bagi mendidik anak-anak untuk menabung bermula dari usia muda, program ini diusahakan bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Pada majlis tersebut, Arifin turut menyampaikan watikah Perlantikan kepada 17 Ahli Jawatankuasa Masjid dan Jawatankuasa Dakwah selain menyaksikan pemberian sumbangan berjumlah RM10,000 dan RM5,000 daripada MUIS dan Baitulmal kepada pengurusan Masjid Daerah Sandakan, Pihak Pengurusan Masjid turut memberi sumbangan kepada asnaf, surau dan pusat kebajikan yang terpilih.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *