Timbalan pengarah hadap 46 pertuduhan kes rasuah membabitkan RM55,020

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah selepas didakwa atas 46 pertuduhan rasuah membabitkan RM55,020, di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini.

Pendakwaan dibaca dihadapan hakim Abu Bakar Manat terhadap tertuduh iaitu seorang wanita berusia 42 tahun yang juga merupakan timbalan pengarah Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) cawangan Sabah.

Kesalahan dilakukan melibatkan beberapa syarikat dan individu di tiga lokasi berbeza Maybank di sini, Maybank di Sipitang dan di pejabat PKK, antara tahun 2019 – 2020 , kebanyakan kesalahan adalah berkaitan Sijil Taraf Bumiputera (STB).

Menurut pertuduhan, beliau menerima 19 daripada jumlah pertuduhan adalah di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menerima suapan oleh ejen manakala empat pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM kerana meminta suapan sebagai pegawai penjawat awam. Satu pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM kerana berniat memperdaya prinsipalnya oleh ejen, sementara satu lagi pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM kerana menggunakan kedudukannya untuk suapan.

Sebanyak 21 pertuduhan lagi terhadap tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana mendapatkan barangan berharga daripada individu yang diketahuinya mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee menawarkan jaminan RM25,000 bagi semua pertuduhan dengan penjamin tempatan dan syarat tambahan lain.

Nurul Izzati berkata, tertuduh diminta menyerahkan pasport antarabangsanya, jika ada, kepada mahkamah untuk disimpan dan melaporkan kepada pejabat SPRM setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri kepada SPRM setiap dua bulan sekali sebagai syarat tambahan pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Zahir Shah memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh bukan risiko penerbangan kerana dia adalah anak tempatan Sabah dari Sipitang.

Zahir juga memberitahu mahkamah bahawa tertuduh masih bekerja di PKK dan beliau mencadangkan RM10,000 didepositkan bagi jumlah jaminan itu kerana tertuduh juga mempunyai masalah kewangan dan banyak komitmen.

Mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk pengurusan kes dan membenarkan ikat jamin RM25,000 tetapi hanya RM10,000 yang perlu didepositkan kepada penjamin tempatan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *