305 paket minyak masak bersubsidi dirampas

Read Time:55 Second

SANDAKAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya merampas sebanyak 305 paket minyak masak bersubsidi satu kilogram dalam satu rondaan berhampiran Sungai Besar Tanjung Aru di sini.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pihaknya telah menemui sebuah bot yang berdaftar atas lesen perikanan tersorok dan bertambat pada batang pokok bakau berhampiran sungai berkenaan pada jam 12.20 tengah hari semalam.

“Bot yang ditemui tanpa pemilik itu dipercayai dibiarkan di situ setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa melakukan rondaan di sekitar kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan 18 kotak besar berisi 305 paket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap paket dan disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainudin berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk minyak masak bersubsidi, bot dan enjin sangkut adaah sekitar RM21,000.

Katanya, kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot, dalang serta pelaku disebalik kegiatan penyeludupan ini. Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.