Kerajaan usaha sedia peruntukan tambah bilangan tenaga pengajar di sekolah agama

Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan akan terus berusaha untuk menyediakan peruntukan bagi menambah bilangan tenaga pengajar bagi Gred DG41 di sekolah-sekolah agama negeri seluruh Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini berikutan terdapat bilangan graduan agama anak-anak tempatan keluaran universiti tempatan dan luar negara yang masih belum mendapat pekerjaan.

Katanya, guru merupakan elemen terpenting dalam mewarnai pendidikan di sekolah dan tanpa adanya guru maka pendidikan akan terjejas dan tidak dapat sepenuhnya dilaksanakan dengan teratur.

“Menyedari keadaan ini, Kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) telah pun melantik seramai 150 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29 untuk mengisi kekosongan tenaga pengajar di sekolah-sekolah agama negeri.

“Sekalipun pelantikan ini belum dapat menampung kekurangan yang ada tetapi sedikit sebanyak dapatlah membantu proses pengajaran dan pembelajaran terlaksana dengan baik.

“Menyedari perkara ini, Kerajaan akan berusaha untuk menyediakan peruntukan menambah bilangan jawatan guru gred DG41 memandangkan terdapat bilangan graduan agama anak-anak tempatan keluaran universiti tempatan dan luar negara yang masih belum mendapat pekerjaan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada MUIS melalui Bahagian Zakat dimana sehingga hari ini telah membantu seramai 183 orang guru sementara yang berkhidmat di Sekolah Agama Negeri (SAN); Tadika; Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan ITQAS dimana mereka telah dibayar elaun berkhidmat oleh Bahagian Zakat MUIS.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, jumlah sekolah-sekolah agama Islam di bawah Kerajaan Negeri sehingga kini adalah sebanyak 106 buah SAN termasuk dua buah SAN Integrasi.

Katanya, bagi SMAN, sebanyak enam buah SMAN telah ditubuhkan termasuk SMAN Islamiah Beaufort yang telah pun berpindah ke bangunan baharu di Kampung Kabidang Beaufort.

“Bagi Tadika JHEAINS pula sehingga kini adalah sebanyak 16 buah dan dalam masa terdekat bilangan Tadika JHEAINS akan bertambah dengan wujudnya Tadika JHEAINS Pekan Beaufort.

“Senario ini membuktikan betapa Pendidikan Islam amat diperlukan oleh masyarakat Islam setempat di seluruh Sabah,” katanya .

Justeru Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menyedari perkara tersebut dan antara usaha dan inisiatif yang dilaksanakan adalah dengan menyediakan peruntukan melalui JHEAINS untuk menaiktaraf prasarana sedia ada selain membina Sekolah Agama Negeri yang baru di beberapa daerah yang memerlukan Pendidikan Islam secara formal.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.