HomeIsu tempatanSuspek dapat keampunan dari pihak Katedral St Francis Xavier

Suspek dapat keampunan dari pihak Katedral St Francis Xavier

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KENINGAU: Pihak Katedral St Francis Xavier di sini telah mengampunkan perbuatan suspek yang merosakkan gereja dengan mencemarkan salib dan beberapa ikon agama pada Khamis.

Bishop Datuk Cornelius Piong berkata, pihaknya sudahpun memaafkan dan tidak akan menghukum atau mengenakan denda kepada suspek yang melakukan kerosakan di gereja itu semalam.

Sebaliknya, beliau akan menyerahkan penyiasatan kes itu kepada polis, dan berkata ia terpulang kepada pihak berkuasa untuk melakukan apa yang mereka anggap sesuai di bawah undang-undang.

“Pengampunan adalah sebahagian daripada ajaran Kristian, dan adalah lebih baik berdoa untuk suspek untuk kesejahteraannya dan untuk pemulihan kesihatan mentalnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media secara maya langsung pada Jumaat (8 Julai), sebagai menjawab spekulasi dan tuduhan orang ramai yang mengecam perbuatan itu dan menggelar suspek gila atau kurang siuman.

Katanya, melihat kerosakan yang dilakukan terhadap salib adalah sangat menyakitkan, kerana ia adalah pusat kepada kepercayaan Kristian manakala ikon agama adalah titik rujukan kepada pelbagai aspek akidah.

Pihak gereja juga katanya, tidak meminta sebarang bayaran ganti rugi, atau ‘sogit ‘(denda secara adat tempatan) daripada keluarga.

“Sebaliknya, kami telah memutuskan untuk mengadakan misa khas atau acara ‘sogit’ kami sendiri pada 14 Julai ini jam 7 malam untuk memohon keampunan daripada Tuhan atas kecuaian dan kelalaian kami sendiri dan kurang perhatian terhadap ahli kariah kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Kariah Nancy Nelly Joneh menyeru semua pengguna media sosial untuk berhenti mengutuk suspek atau keluarganya, dan mengelak daripada menggunakan perkataan yang menyakitkan seperti “gila” atau “mental tidak sihat” sebagai gelaran kepada suspek itu.

Beliau menggesa orang ramai untuk menyebarkan mesej ini supaya semua memberikan sokongan emosi kepada keluarga, yang juga menghadapi tekanan berikutan kejadian itu.

“Ibu suspek telah berjumpa dengan saya dan memberitahu perkara yang sebenar, suspek yang juga anaknya sakit dan perlu dirawat, jadi mari kita sama-sama bantu keluarga ini, jangan tambah garam pada luka, kerana ini hanya akan menyebabkan kecederaan dan konflik dalam keluarga,” katanya.

Nancy turut menegaskan bahawa perkara ini bukanlah satu perbuatan keji yang disengajakan, dan tidak ada kaitan dengan jenayah keganasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya masih dalam usaha mendapatkan keterangan daripada suspek dan pihak lain yang berkaitan dengan kes mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencederakan atau mencemarkan tempat ibadat.

Terdahulu, polis menerima laporan mengenai kes itu sekitar jam 10 pagi Khamis (7 Julai) dan mendapati beberapa ikon serta salib rosak

Susulan daripada kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun, dipercayai mental tidak stabil untuk membantu siasatan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS terima sumbangan untuk projek kajian dan pembudayaan STEM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular