USIA perlu bergerak pantas di era digitalisasi – Sapawi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

KOTA KINABALU : Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mahu semua barisan kepimpinan yang baharu bekerja sebagai sebuah pasukan bagi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan.

Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata, ia juga adalah bagi mengembalikan kegemilangan USIA selain mengilap imej pertubuhan itu serta memperkasa program-program dan kegiatan dakwah USIA.

“Saya mahu semua barisan kepimpinan USIA dan pihak pengurusan baharu untuk bekerja bersama saya demi mencapai misi dan visi saya untuk mengembalikan kegemilangan USIA.

“USIA mesti bergerak seiring dengan tuntutan semasa, iaitu era digitalisasi yang bergerak pantas merentasi seluruh dunia,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) USIA di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua USIA Abdul Hakim Gulam Hassan.

Sapawi berkata, beliau juga mahu melaksanakan misi dan visi dalam menentukan pembangunan dan pengurusan aset USIA dilaksanakan dengan lebih telus dan berintegriti.

Katanya yang turut yakin bahawa semua AMT USIA akan dapat membantu dalam merealisasikan misi yang dirancang.

“Ini adalah supaya kegemilangan USIA dapat dapat kita angkat semula seperti diawal penubuhannya,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Sapawi turut mengumumkan pelantikan seorang Timbalan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan 14 AMT  USIA.

Katanya, pelantikan-pelantikan yang diumumkan itu adalah selaras dengan Fasal 16(iii) Perlembagaan USIA.

“Saya juga membuat perubahan di dalam pengurusan dan pentadbiran USIA. Antara jawatan penting yang terlibat dalam perubahan ini adalah Setiausaha Agung USIA dimana seorang bekas Pegawai Kanan Kerajaan Negeri iaitu Iman Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung baharu USIA. Beliau akan dibantu oleh Zulhaimi Asbi.

“Bagi mengawal dan mengetuai Bahagian Kewangan USIA saya telah melantik seorang bekas Pegawai Kanan Telekom Malaysia iaitu Sainuri Yahmin sebagai Bendahari Agung USIA.

“Saya juga telah telah mengumumkan pelantikan Datuk Abdullah Hussin sebagai Ketua Penerangan USIA yang baharu. Semua pelantikan ini berkuatkuasa serta merta,” katanya.

Beliau berharap barisan kepimpinan baharu USIA selain perubahan dalam bahagian pengurusan serta pentadbiran, USIA akan lebih bersedia menghadapi kehendak dan aspirasi ahli USIA dan umat Islam keseluruhannya.

Terdahulu, Sapawi turut mengumumkan Datuk Alipuddin P Puyon dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua dilantik; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Samad Jambri dilantik sebagai Naib Yang Dipertua dilantik.

Manakala 14 AMT yang dilantik adalah Datuk Professor Madya Dr Abdul Kadir Rosline; Datuk Dr Mingu Jumaan;  Datuk Norjeli Dais;  Datin Norlaila Said; Dr Abdul Halim Juanis;  Abdul Rahman Tun Sakaran; OKK Jasni Eser; Ustaz Pajudin Nordin;  Harun Pata; Mohd Reduan Datuk Aklee;  Nirma Habibi; Sahari Amdan; Rosly Roslan Asing; dam Awang Hashim Awang Damit.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *