100,000 orang sehari dijangka kunjungi MAHA 2022 – Ronald

Read Time:1 Minute, 36 Second

KAJANG – Seramai 100,000 orang dijangka mengunjungi pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 setiap hari bermula 4 hingga 14 Ogos depan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, kemeriahan itu bakal dilihat selepas penganjurannya tidak dapat dilakukan sejak dua tahun lepas ekoran pandemik Covid-19.

Katanya, lebih 1,500 gerai disediakan pada pameran berkenaan yang terdiri daripada penglibatan pengusaha industri kecil dan sederhana.

Turut terlibat dalam pameran itu pengusaha industri besar yang akan mempamerkan teknologi dalam sektor agromakanan dan ia merupakan salah satu daripada tarikan pengunjung.

“Tentu sekali pencapaian dalam sektor agromakanan ini berkembang sepanjang tahun berbanding empat tahun yang lalu.

“MAHA merupakan platform untuk mempamerkan pencapaian terkini dalam sektor pertanian negara dan dunia. Ini merupakan ruang untuk kita melihat pencapaian-pencapaian ini.

“Kita mengharapkan agar MAHA 2022 yang dianjurkan ini akan menjadi sesuatu yang lebi baik berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas flag off promosi MAHA 2022 MRT, di sini hari ini.

Hadir sama pada program itu Timbalan Menteri MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Dalam pada itu Ronald memberitahu, pelbagai jawatankuasa diwujudkan oleh MAFI bagi memastikan penganjuran terperinci dan teratur sepanjang program tersebut berlangsung.

Ujarnya, beliau menaruh keyakinan menerusi kluster yang diwujudkan ia akan dapat mempamerkan penganjuran MAHA yang terbaik berbading sebelum ini.

Sebelum ini, Ronald memaklumkan MAHA 2022 mampu mencapai hasil jualan melebihi RM250 juta.

MAHA 2022 yang bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ juga tuurt diadakan secara hibrid iaitu kombinasi fizikal dan maya selaras dengan pembudayaan norma baharu.

Terdahulu sebelum itu, pada program yang diadakan hari ini, Ronald menaiki tren dari Stesen Taman Suntex, Cheras ke Stesen Kajang.

Ia sebagai sebahagian daripada aktiviti MAFI bagi mempromosikan MAHA 2022.

Laluan MRT dari Sungai Buloh ke Kajang dipilih kerana laluan itu mempunyai 29 buah stesen dengan jumlah sebanyak 58 buah tren MRT dan juga 25 buah pasar raya berdekatan di sepanjang laluan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.