Aktiviti kokurikulum berupaya kembangkan bakat, kemahiran pelajar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 2 Second

KOTA BELUD: Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di peringkat sekolah merupakan satu platform yang berupaya membentuk pelajar selain mengembangkan bakat serta kemahiran mereka.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, selain akademik, sahsiah para pelajar juga dapat dibentuk menerusi penglibatan diri di dalam aktiviti di luar kelas.

“Pembinaan sahsiah dan jati diri anak-anak adalah merangkumi semangat tidak mengaku kalah, dan tidak berputus asa, seperti hari ini di mana kita melihat para pelajar berjuang dan berusaha menghabiskan larian hingga ke garisan penamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sukan Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, di sini kelmarin.

Jahid berkata, menerusi aktiviti luar kelas, pelajar juga mampu mengisi masa lapang dengan lebih berfaedah, malah berpeluang menguji kemampuan diri mereka yang sebenar dalam pelbagai lapangan.

Beliau turut berpendapat bahawa ramai pelajar sekolah yang boleh diketengahkan dan ditonjolkan selain tidak mustahil untuk bertanding hingga ke peringkat Kebangsaan kelak.

“Teruskan kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang sukan, tetapi juga dalam bidang akademik,” katanya.

Jahid turut menyeru kepada semua pelajar agar sentiasa menghormati para tenaga pengajar, kerana tanpa guru-guru, tidak mungkin mereka mampu mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

“Maksimakan bakat anda, amalkan kerja kuat dan disiplin yang baik agar anda menjadi lebih maju dalam semua lapangan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *