Kerajaan tangguh, tidak teruskan projek belum bermula 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

BERNAMA

KOTA BHARU — Kerajaan mengambil langkah  menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang belum bermula sebagai langkah penjimatan perbelanjaan awam  bagi membolehkan dana disalurkan untuk kesejahteraan rakyat dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata langkah itu sebagai menyahut arahan dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk “Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam”.

“Saya sudah mengadakan mesyuarat dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) mengenai kedudukan kewangan untuk melihat projek-projek yang belum bermula.

Jadi kalau ia belum bermula, tidak payah buat lagi, manakala kalau ada yang sudah bermula, kita akan bincang tentang perkembangan mana satu kita perlu, sama ada tangguh atau batalkan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Pasaran Buruh dan Pembentangan Hasil Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja Peringkat Negeri Kelantan 2022 Sempena Karnival Kerjaya Aspirasi Negara Keluarga Malaysia di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Analisa Pekerjaan (EIAS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Ummar Jai Kumar Abdullah dan Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob.

Jumaat lalu media melaporkan berhubung kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia untuk melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *