Lebih 1,600 peserta serta Fun Ride,Fun Run dan Charity Walk sempena HBN 2022

Read Time:1 Minute, 19 Second

TUARAN : Seramai lebih 1,600 orang peserta telah menyertai Program ‘Fun Ride, Fun Run dan Charity Walk’ sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 peringkat Kebangsaan.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim itu telah berlangsung di Padang Pekan Tuaran di sini pagi tadi.

Jahid berkata, penganjuran program sukan seumpama itu telah berjaya mengeratkan hubungan silaturrahim dikalangan peserta khususnya belia yang telah mempamerkan kesungguhan untuk terus mengamalkan amalan hidup sihat.

Katanya, golongan belia pada masa kini dilihat telah bersedia untuk membantu pimpinan Kerajaan dalam memastikan citarasa generasi muda dapat dipenuhi dan ditunaikan.

“Penganjuran HBN 2022 peringkat Kebangsaan yang diadakan di luar ibu negara Kuala Lumpur telah memperlihatkan satu keterangkuman, keterlibatan diantara pimpinan dan akar umbi khususnya di luar bandar.

“Ini harus diteruskan kerana kesannya sangat baik dimana para pemimpin dan bakal pemimpin akan terus rapat dimana program seumpama ini akan lebih mendekatkan mereka,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Dalam pada itu, Jahid berkata, golongan belia turut memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran serta menyebar luas maklumat terkini khususnya yang berkaitan COVID-19.

“Sejak kebelakangan ini, kita melihat kes COVID-19 semakin meningkat tinggi dan saya berharap hasil dari program ini akan dapat memperlihatkan kesepakatan belia dalam membantu Kerajaan menangani wabak COVID-19,” katanya.

Semalam, sambutan HBN 2022 peringkat Kebangsaan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pelbagai program telah diadakan termasuklah Perkampungan Belia dan Konsert Gegar HBN 2022.

Pada malam ini, Hajiji dijangka akan turut menghadiri program Belia Sabah Berselawat di Padang Pekan Tuaran.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.