DUN Sabah : Dua produk petroleum dikenakan cukai jualan negeri bermula Ogos

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU  : Kerajaan negeri akan memperluaskan sumber dan meningkatkan lagi hasil negeri apabila dua lagi produk petroleum akan dikenakan cukai jualan negeri bermula 1 Ogos ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun berkata, produk tersebut adalah ammonia dan urea yang dianggarkan aka menyumbang sejumlah RM46 juta ke atas hasil negeri pada tahun ini.

“Kerajaan Negeri, pada 1 April 2020 mula melaksanakan cukai jualan negeri ke atas produk petroleum iaitu minyak mentah petroleum dan gas asli (termasuk gas asli cecair) pada kadar lima peratus melalui Perintah Cukai Jualan Negeri (Kadar Cukai) 2018.

“Selaras dengan seksyen 10 (1) Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998, setiap orang yang menjalankan perniagaan menjual atau membekalkan produk-produk yang dikenakan cukai hendaklah memohon lesen cukai jualan negeri kepada Pengarah Cukai Jualan Negeri.

“Justeru, sehingga kini, sejumlah 13 syarikat minyak dan gas telah berdaftar dan diberikan lesen cukai jualan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, berdasarkan seksyen 14 Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998, pemegang lesen cukai hendaklah mengemukakan penyata taksiran iaitu Borang 4 bersama bayaran cukai dalam tempoh 28 hari daripada tempoh yang kena dibayar cukai.

“Sebagai contoh, untuk tempoh yang kena dibayar cukai bagi bulan Jun, Borang 4 hendaklah diisi lengkap dan dikemukakan bersama-sama bayaran sebelum atau pada 28hb Julai,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, sejumlah RM1.1 bilion telah dianggarkan sebagai hasil cukai jualan produk petroleum bagi tahun ini.

Katanya, sehingga 30 Jun lalu, Kerajaan Negeri telah mengutip RM808 juta atau 73 peratus daripada anggaran tersebut. 

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pungutan cukai jualan produk petroleum sejak ianya dilaksanakan pada 1 April 2020 sehingga 30 Jun 2022 adalah sebanyak RM2.458 bilion,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *