Satu tan sampah dikutip sempena ‘Coastal Clean-up with Community’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Sejumlah satu tan sampah berjaya dikutip di pesisir pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena program Coastal Clean-up with Community yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Program anjuran AEON Credit Service dengan kerjasama Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS dan Sukarelawan Siswa UMS itu disertai seramai 120 sukarelawan.

Pengurus Kawasan Sabah AEON Credit Service, Esmond Teo Yee Seng berkata, sejajar dengan falsafah syarikat AEON, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) merupakan acara tahunan AEON untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan-kawasan tumpuan awam dan alam semula jadi.

“Selain daripada pantai ODEC UMS, dua lagi pantai yang terlibat dalam program seperti ini iaitu di Pantai Sepat (Pahang) dan Pantai Bersih (Pulau Pinang).

“Pada 16 Julai yang lalu, program ini telah diadakan di Pantai Morib (Selangor), Pantai Batu Layar (Johor) dan Pantai Kampung Bunta (Sarawak).

“Sasaran AEON Credit adalah untuk mengutip sebanyak 6.5 tan sampah termasuk sisa plastik, polisterin dan lain-lain sisa sampah di lokasi-lokasi terbabit,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

Sementara itu, Pengarah PKPP, Dr. Jurry Foo menzahirkan penghargaan kepada AEON Credit yang memilih Pantai ODEC, UMS sebagai salah satu lokasi pantai dalam siri program CSR mereka.

“Pantai ini menjadi tumpuan pelancong dan pelawat dari luar terutamanya pada hujung minggu yang ingin menikmati suasana matahari terbenam.

“Justeru, usaha ini dilihat mampu mengurangkan sampah agar orang ramai yang berkunjung ke sini berasa selesa dan gembira untuk berjalan-jalan di pantai,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *