HomeUtamaPengusaha IKS disaran hantar produk mereka ke Kedai IKS - Dr Joachim

Pengusaha IKS disaran hantar produk mereka ke Kedai IKS – Dr Joachim

Read Time:3 Minute, 1 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Kerajaan menyarankan semua pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya yang menghasilkan produk tempatan Sabah supaya menghantar dan memasarkan produk mereka ke kedai-kedai IKS berdekatan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, tidak ada alasan lagi untuk tidak dapat memasarkan produk mereka (pengusaha IKS) kerana kerajaan telah menubuhkan kemudahan kedai-kedai IKS di mana mereka boleh menghantar produk mereka di sana untuk dipasarkan.

Katanya, Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) juga sedang dalam usaha berkolaborasi dengan GM Klang, Pasaraya Segi Fresh dan Fasarina Express Mart Labuan bagi memasarkan produk buatan Sabah.

“DIDR juga telah mewujudkan kedai IKS di Kota Kinabalu, Beaufort, Ranau dan pada hari ini di Papar. Ini bertujuan untuk memasarkan produk Sabah dan membantu usahawan yang mengendalikan kedai IKS,” katanya pada sidang media semasa merasmikan pembukaan Pusat Produk IKS Sabah (IKS Mart Papar) di Papar Square, di sini, hari ini.(28 Julai)

Menurut Dr. Joachim, Kerajaan Negeri melalui MID, telah melaksanakan beberapa program untuk membantu usahawan Sabah, seperti bantuan meningkatkan mutu produk melalui pemberian mesin, kursus-kursus pembungkusan (packaging) dan perlabelan, dan bantuan pemasaran produk IKS (industri kecil dan sederhana) melalui kerjasama dengan Kedai Mesra PETRONAS dan Pasaraya BATARAS.

Dalam pada itu, program ini juga diwujudkan sebagai menyahut cabaran Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor awal tahun ini menunjukkan impak positif sekaligus merancakkan kembali sektor perniagaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk tempatan.

Sementara itu, menurut Dr Joachim, jumlah hasil jualan melalui kolaborasi dengan pasaraya Bataras, Kedai Mesra Petronas, Pusat Produk IKS di Kota Kinabalu, Beaufort dan Ranau semenjak program-program ini dimulakan telah mencapai RM5.9 juta.
 
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada DIDR atas pencapaian ini. Saya menyeru semua usahawan Sabah terus menyokong IKS Mart yang telah dibuka dengan menghantar produk-produk mereka termasuk di IKS Mart Papar yang dibuka hari ini yang menjual sekurang-kurangnya 80% daripada produk-produknya adalah terdiri daripada barangan buatan Sabah.
 
“Bantuan Kerajaan ini tidak dapat diberikan sepanjang masa kepada usahawan. Bagi yang sudah menerima bantuan, diharap akan mempertingkatkan lagi prestasi sendiri,” tambahnya.
 
Dr. Joachim juga berharap Pusat-pusat Produk IKS yang telah dalam perancangan di daerah Tuaran, Kota Marudu, Keningau Tawau dan lain-lain dapat direalisasikan dengan secepat mungkin agar produk-produk buatan Sabah dapat dipasarkan ke setiap pelusuk negeri Sabah.
 
“Kementerian saya mahu para usahawan bukan sahaja memfokuskan kepada pasaran domestik tetapi perlu berpandangan lebih jauh ke hadapan dengan memasarkan produk mereka ke peringkat nasional dan antarabangsa.
 
“Dalam hal ini, pihak DIDR telah membawa para pengusaha ke luar negara dalam acara ekspo-ekspo luar negara iaitu di World Dubai Expo 2020, Thaifex 2022 serta Malaysia Fest 2022 di Singapura dan juga ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada bulan Ogos nanti.

“Ini merupakan cara kita membantu usahawan IKS mempromosi dan memasarkan produk mereka ke peringkat global. Penyertaan usahawan tempatan ke ekspo pameran luar negara ini merupakan platform penting untuk memberi pendedahan serta mencari peluang-peluang perniagaan yang baharu,” ujarnya.

Menyentuh tentang Pusat Produk IKS Papar ini, beliau berkata, ia merupakan pusat jualan produk IKS yang keempat selepas Kota Kinabalu, Beaufort, Ranau yang telah beroperasi dengan lancarnya.

“Saya juga ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur yang diterajui oleh Pengarah DIDR kerana berjaya menganjurkan majlis perasmian pusat IKS Sabah daerah Papar pada pagi yang mulia ini,” katanya.
 
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Mohd. Tamin Zainal serta Pejabat Daerah Papar dan semua agensi yang terlibat menganjurkan majlis itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama SPSB, DPW menjadikan Sabah sebagai hab transhipment

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya