Segera bina SMK Nabalu, elak berlaku kesesakan pelajar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KIULU : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa untuk mempercepatkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Joniston Bangkuai berkata, pembinaan sekolah itu tidak harus ditangguhkan kerana tapak yang bersesuaian dan selamat telah dikenalpasti.

“Berapa lama lagi kita harus menunggu pembinaan sekolah berkenaan.  Sudah tentu dengan adanya SMK Nabalu itu akan dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan di sekolah berhampiran dan kesesakan yang berlaku apabila pelajar baharu mendaftar,” katanya.

Joniston berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tun Fuad Stephens di sini, kelmarin.

Turut hadir adalah Pengetua SMK Tun Fuad Stephens Awang Seman Aawang Tahir dan Pengerusi PIBG sekolah Koolin Kook Kiong.

Pada 28 Januari tahun ini, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamad Alamin telah mengadakan lawatan ke Kampung Giok berhampiran Pekan Nabalu untuk meninjau tapak baru pembinaan SMK Nabalu.

Dalam lawatan itu, Mohamad mengumumkan bahawa pembinaan sekolah tersebut telah dimasukkan untuk pelaksanaan di bawah Pelan Pusingan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12.

SMK Nabalu pada mulanya dibina di tapak berhampiran pada 2012 tetapi kerja-kerja binaan dihentikan berikutan tapak tersebut tidak selamat.

Jabatan Mineral dan Geosains, antara agensi lain yang berkaitan, telah menilai tapak binaan baru dan menentukan ia sebagai lokasi yang selamat untuk pembangunan sekolah.

Di samping itu, Joniston turut menggesa pihak yang berkenaan agar mempercepatkan proses pembinaan asrama yang dibiayai oleh Perbadanan Pinjaman Sabah untuk SMK Tun Fuad Stephens.

Sementara itu, Joniston turut menggalakkan pelajar yang bakal mengundi kelak agar melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang isu semasa.

Beliau berkata golongan muda kini mempunyai tanggungjawab untuk memahami isu-isu kritikal dan landskap politik negeri dan negara mereka berikutan pelaksanaan Undi18.

“Kita hidup dalam dunia tanpa sempadan yang menghidangkan pelbagai jenis berita. Ini adalah ujian untuk anak-anak kita menilai perkara yang benar dan tidak benar. Saya mahu anak-anak kita berfikir secara kritis dan membuat pilihan yang terbaik.

“Pada masa yang sama, ibu bapa dan guru bertanggungjawab membimbing anak-anak muda kita agar mereka lebih memahami dan mampu membentuk pandangan mereka sendiri,” katanya.

Pada majlis itu, Joniston turut menyumbangkan RM5,000 kepada SMK Tun Fuad Stephens untuk pembelian dua unit penyaman udara dan menyumbang kepada tabung yang disediakan oleh sekolah untuk memberi ganjaran kepada pelajar yang mendapat keputusan A dalam SPM dan STPM.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *