Orang ramai dipelawa hadir menyaksikan Sambutan Hari Pahlawan Ahad ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Orang ramai sekitar Bandaraya Kota Kinabalu adalah dijemput untuk hadir ke Sambutan Hari Pahlawan 2022 bertempat di Padang Merdeka bermula jam 7 pagi pada Ahad ini.

Antara acara yang bakal mencuri tumpuan ialah aksi Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Ketiga Regimen Askar Melayu DiRaja yang disertai 130 anggota serta tiga pegawai lain-lain pangkat dan diketuai Mejar Shah Rezuan Mohd Yusuf.

Dalam sesi raptai hari ini, persembahan khas oleh Tentera Darat (Artillery in Action) dan Tentera Laut Diraja Malaysia juga dijangka menarik perhatian pengunjung.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 15 buah kenderaan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 bersedia untuk berlepas pada Ahad ini.

Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa berkata, acara pelepasan konvoi tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, sejurus selepas Sambutan Hari Pahlawan di Padang Merdeka.

“Sebanyak 15 kenderaan daripada jabatan serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-Kom) Sabah akan menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini untuk menjayakan kempen kibar jalur gemilang.

“Konvoi ini dinamakan Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 sebagai salah satu pengisian sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini,” katanya.

Antara yang hadir dalam sesi raptai pagi tadi ialah Setiausaha Perhubungan Istana Seri Kinabalu, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah, Datuk Dr Jamili Nais dan Ketua Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN Sabah, Azman Sipan.

Oleh itu, orang ramai dipelawa hadir dan memeriahkan majlis berkenaan yang dijangka bermula pada jam 10.00 pagi dan masuk adalah percuma.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *