JKDM Sabah berjaya rampas dadah seberat 52kg bernilai RM1.8 juta

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pasukan Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah telah berjaya merampas dadah jenis Methamphetamine dengan berat lebih kurang 52.463 kilogram dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,888,668.00 dalam satu serbuan di sebuah rumah kediaman dekat sini pada 28 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Zazuli Johan berkata, baru-baru ini di Sabah, di bawah Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV Tahun 2022, satu kes tangkapan berkaitan bahan terlarang dadah berjaya diperolehi oleh Pasukan Penguatkuasaan daripada Cawangan Penguatkuasaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Cawangan Narkotik Zon Sabah dan Cawangan Operasi Kota Kinabalu JKDM Sabah.

Dadah jenis Methamphetamine dengan berat lebih kurang 52.463 kilogram dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,888,668.00.
Dadah jenis Methamphetamine dengan berat lebih kurang 52.463 kilogram dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,888,668.00.
Peralatan proses pembungkusan dadah yang dirampas JKDM.

Katanya, pada 28 Julai 2022, lebih kurang 12.12 tengah hari, bertindak berdasarkan maklumat dari Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), Pasukan Penguatkuasaan, JKDM Sabah telah menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah
kediaman di Kota Kinabalu.

“Hasil serbuan tersebut membawa kepada penemuan bahan terlarang yang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat lebih kurang 52.463 kilogram dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,888,668.00.

“Ini merupakan rampasan dadah terbesar di Sabah pada tahun ini,” katanya pada sidang media di Dewan Seri Khazali, Menara Kastam di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, serbuan yang dijalankan turut membawa kepada penahanan orang yang disyaki (OYDS) iaitu seorang lelaki warganegara tempatan yang berumur 37 tahun yang berada di dalam rumah tersebut bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Zazuli turut menyatakan modus operandi kes ini adalah menjadikan rumah sebagai tempat untuk melakukan proses pembungkusan bahan yang disyaki dadah dengan memasukkan ke dalam plastik teh dan seterusnya melalui proses kedap udara dengan jumlah berat tertentu.

“Bahan disyaki dadah yang telah siap dibungkus disembunyikan di dalam peralatan elektrik dapur dan disimpan di dalam kotak peralatan elektrik dapur tersebut bagi tujuan mengaburi mata pihak penguatkuasaan.

“Kotak yang menyembunyikan bahan yang disyaki dadah Methamphetamine ini dipercayai untuk kegunaan di dalam dan luar Sabah,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *