Cari inisiatif semarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang – Hadzlan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 17 Second

PAPAR : Masyarakat perlu mencari inisiatif yang lebih berkesan bagi menyemarakkan lagi Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sabah yang telah dilancarkan pada 31 Julai lalu.

Pegawai Daerah Papar Hadzlan Jablee berkata, masyarakat juga perlu membuang sikap tunggu dan mengharap pemberian Jalur Gemilang secara percuma.

“Masyarakat perlu mencari inisiatif untuk menyemarakkan lagi Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah, sekali gus mengubah persepsi hanya agensi Kerajaan yang berperanan meraikan bulan kebangsaan setiap bulan Ogos.

Pegawai Daerah Papar Hadzlan Jablee

“Justeru saya menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya di daerah ini agar mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing tidak kira di pejabat, rumah atau gerai mahupun kenderaan masing-masing bagi menzahirkan semangat bersyukur kita sebagai rakyat malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 Peringkat Daerah Papar, di sini semalam.

Hadzlan berkata, masyarakat juga diingatkan untuk menerapkan mentaliti bagi memartabatkan lagi identiti negara termasuk sikap lebih peka terhadap Jalur Gemilang.

“Sekiranya ternampak Jalur Gemilang yang telah lusuh atau koyak, ambillah inisiatif untuk membeli dan menukarkannya dengan yang baharu atau maklumkan kepada pemilik premis agar Jalur Gemilang tersebut dapat diturunkan dan diganti baharu.

“Marilah kita bertekad untuk menerap mentaliti dan menyuntik sikap peduli dalam kalangan masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati jalur gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah,” katanya.

Pada majlis tersebut, Hadzlan yang diiringi Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Polis (DSP) Kamarudin Ambo Sakka, Pegawai Pendidikan Daerah, Suhaimi @ Suhaini Matshah dan PPM Limbahau, Datuk Johny Mositun melekatkan Jalur Gemilang di kenderaan awam sebelum menyempurnakan upacara pelepasan Konvoi KMKM 2022 di Padang Pekan Papar.

Suhaimi melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan awam

Konvoi KMKM 2022 diketuai Nadzerah dan disertai 50 orang dengan 35 kenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-Komm) dan dijadualkan menjelajah ke Daerah Beaufort, Daerah Kecil Membakut dan Kuala Penyu untuk edaran Jalur Gemilang.

Dalam majlis berasingan, sebanyak 50 helai Jalur Gemilang diedarkan ke beberapa buah premis perniagaan disekitar Pekan Kuala Penyu.

Edaran Jalur Gemilang itu diketuai Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury yang bertujuan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

Ia juga merupakan sebahagian pengisian dalam aktiviti Konvoi KMKM Sabah 2022 yang sedang berlangsung pada masa ini.

Konvoi yang berlepas dari Padang Pekan Papar itu tiba di daerah ini selepas membuat edaran Jalur Gemilang di SMK Bongawan II dan SK Saga-Saga Membakut, sekali gus melengkapkan jarak 120 km pengembaraannya pada hari pertama di bahagian pedalaman bawah Sabah.

Pada hari ini, konvoi akan menjelajah ke daerah Beaufort dan Sipitang bagi maksud sama dengan menyasarkan Pejabat Daerah Beaufort, SMK Weston, Esplanade Pekan Sipitang dan Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) Kg Malamam sebagai lokasi persinggahan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *