Keunikan seni budaya Sabah bawa tuah di WCoPA 2022

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Keunikan seni budaya negeri ini ternyata membawa tuah kepada kumpulan kesenian Sabah yang mewakili negara dalam pertandingan World Champions of Performing Arts (WCoPA) 2022 yang berlangsung di Los Angeles Amerika Syarikat baru-baru ini.

Kumpulan yang rata-rata diwakili peserta dari negeri Sabah serta tiga dari Semenanjung telah berjaya membawa pulang satu pingat emas; 17 pingat perak dan 13 pingat gangsa seterusnya mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Jurulatih pasukan Malaysia, Dr Sharip Zainal Sagkif Shek berkata, kejayaan itu menunjukkan negeri ini kaya dengan seni budaya yang wajar dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi khususnya global.

Katanya, Malaysia turut mendapat cabaran yang tinggi menerusi persaingan hebat peserta dari 50 buah negara yang menyertai. 

“Bagaimanapun keunikan budaya Sabah ini ternyata membawa tuah dan kejayaan untuk pasukan kita di WCoPA  khususnya dalam kategori nyanyian; tarian dan permainan alat muzik tradisional.

“Bertanding dengan 40 ke 50 buah negara bukan satu perkara mudah, kita laksanakan baik macam mana sekali pun, jika keunikan itu tidak ada maka pengadil tidak akan bagi pingat  dan untuk masuk ke peringkat seterusnya juga agak sukar,” katanya.

Dr Sharip Zainal Sagkif Shek

Dr Sharip yang juga Ketua Program Seni Kreatif Akademi Seni dan teknologi dan Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut bersyukur apabila pengadil melihat kpada keikhlasan pasukan Malaysia mempersembahkan seni budaya pada pertandingan tersebut.

Sementara itu, ibu bapa dan peserta yang mewakili ke WCoPA itu turut merakamkan rasa syukur kepada Kerajaan Negeri dan UMS yang banyak membantu menjayakan kejayaan pasukan itu di pentas dunia.

Selain itu, kejayaan itu turut mendapat kerjasama erat dari Matme; AJ Production, Kementerian Belia dan Sukan dan Pertubuhan Kebudayaan Kesenian Bajau Sabah (PEKAS).

Bagi bapa peserta, Humfrey J Suimin turut merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan yang disalurkan kepada para peserta yang bertanding pada WCoPA itu.

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ucapan ribuan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun yang memberi sumbangan amat besar kepada kumpulan ini untuk bertanding di WCoPA seterusnya menunjukkan bakat Sabah di peringkat dunia,” katanya.

Pingat emas tunggal yang dimenangi kumpulan mewakili Malaysia itu adalah menerusi Dayang Irsyadhania Iraril menerusi kategori vokal 13 hingga 15 tahun.

Dayang Irsyadhania Iraril

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *