Kibaran Jalur Gemilang, bendera Sabah semarakkan sambutan Bulan Kebangsaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:59 Second

KOTA KINABALU: Pelbagai pihak terus menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dengan beraneka aktiviti termasuklah mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), ia dimeriahkan dengan pemasangan bendera kemegahan negara dan kebanggaan Bumi Di Bawah Bayu di sekitar jalan-jalan utama seperti Jalan Perdana Puncak Ilmu, Jalan Samudera dan Jalan Canselor.

Malah, pihak Pengurusan Tertinggi UMS turut mengadakan agihan bendera kepada warga kakitangannya dalam satu acara yang berlangsung di Pintu Utama universiti baru-baru ini.

Kibaran bendera juga dilihat menghiasi sekeliling pagar dan bangunan Kampus Rahmah tersebut.

Dalam pada itu, kakitangan UMS di peringkat jabatan, akademi, fakulti, pusat, institut dan bahagian turut tidak ketinggalan mengambil inisiatif menyemarakkan semangat patriotisme mengikut kreativiti masing-masing.

Bagi Pejabat Canselori, sambutan disemarakkan dengan mengadakan larian mengelilingi kampus sambil mengibarkan bendera Malaysia.

“Ia bukan sahaja sebagai satu usaha menanamkan semangat kecintaan yang tinggi terhadap tanah air, tetapi pada masa sama menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan staf.

“Ia juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kakitangan dan mampu mengurangkan stres selepas seharian bekerja,” kata Ketua Pejabat Canselori, Stella @ Nurul Martini Gontol.

Untuk rekod, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini disambut dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama.’ 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *