HomeUtamaDerma Organ : Sinari kehidupan selepas pemergian

Derma Organ : Sinari kehidupan selepas pemergian

Read Time:5 Minute, 45 Second

GERUN… Itu reaksi masyarakat apabila ditimbulkan isu mengenai pendermaan organ selepas meninggal dunia.

Antara mitos yang biasa didengar adalah mengenai prosedur menderma organ dianggap menyeksa jenazah. Tidak kurang juga yang mengatakan terdapat kemungkinan seseorang itu diisytiharkan sudah meninggal dunia sebelum waktunya agar organ pesakit dapat diambil.

Justeru, pelbagai kempen dijalankan namun masih sukar membendung mitos yang berlegar dalam kalangan masyarakat.

Satu Ikrar, Sejuta Harapan

Anak kepada penderma organ kornea, Suchendran Sivaraman Kannan, 47 yang berasal dari Kolombong berkongsi mengenai pendirian bapanya, Ir Kapten Sivaraman Kannan yang dari awal lagi menyampaikan pesanan agar organnya didermakan sekiranya meninggal dunia nanti.

Suchen ketika berkongsi kisah mendiang ayahnya, Sivaraman Kannan.

“Sejak kami kecil lagi, bapa sudah pesan kalau apa-apa jadi sama bapa, derma apa-apa organ bapa yang masih boleh didermakan.

“Malah bapa pesan, kalau ada universiti yang mahu guna jasadnya untuk tujuan kajian dan pembelajaran, pun boleh.

Sivaraman Kannan, hidup sebagai penderma darah, pergi sebagai penderma organ.

“Dia sangat percaya yang hidup kita di dunia ini mesti saling membantu sampai kalau dia sudah tiada pun, masih mahu bantu orang lain,” ujarnya.

Berkongsi mengenai situasi di hospital ketika bapanya meninggal dunia, Suchendran atau lebih mesra dipanggil Suchen berkata mendiang sudah ditahan dalam lebih kurang lima minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Bapa masa itu sudah 20 tahun menghidap Parkinson sampai akhirnya perlu dimasukkan ke hospital ketika dia berumur 80 tahun ketika itu.

“Kami anak-beranak hormat keputusan bapa untuk jadi penderma organ. Jadi masa itu kami memaklumkan hospital mengenai pesanan bapa sekiranya dia meninggal dunia.

“Prosedur tidak ambil masa yang lama dan jasad mendiang dikembalikan dalam keadaan baik. Tiada apa-apa kecacatan yang kami nampak secara zahir selepas prosedur dijalankan,” kongsinya.

Mengikuti jejak mendiang bapanya, Suchen dan ahli keluarga juga merupakan pengikrar derma organ. Bagi dirinya, itu bukanlah sesuatu yang menakutkan dan merupakan perkara yang sangat baik sekiranya dia masih dapat memberikan manfaat kepada insan lain selepas pemergiannya.


Berbuat Baik Dibalas Baik

Sementara itu, kisah yang dikongsi Jassico Ho, 39 yang berasal dari Penampang merupakan bukti bahawa sebuah kebaikan akan dibalas dengan kebaikan.

Sesi perkongsian daripada penerima organ di Sabah dalam Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2022 peringkat HQE.

Jassica merupakan pesakit kegagalan buah pinggang yang menerima panggilan untuk menjalani pembedahan transplan di Hospital Kuala Lumpur selepas 112 hari pemergian suami tercinta, Sapari Rajun @ Mammat yang juga seorang penderma organ.

“Sebelum ini, Allahyarham suami pernah bawa bincang tentang dia mahu dermakan buah pinggang dia untuk saya. Tapi hasratnya tidak dapat direalisasi kerana kumpulan darah kami tidak sesuai.

“Jadi keputusan saya dan ahli keluarga untuk dermakan organ dia setelah disahkan mati otak bukanlah sesuatu yang asing,” katanya.

Tambah Jassica, keputusan itu juga bukanlah dilakukan untuk kepentingan dirinya, tetapi lebih melihat kepada pahala yang akan terus mengalir buat Allahyarham suaminya nanti.

Jassica memegang gambar Allahyarham suaminya, Sapari Rajun.

“Keputusan tu kami buat bukan sebab mahu orang derma organ sama saya. Antara sebab lain ialah saya sendiri tahu perasaan menunggu organ yang belum tentu semua pesakit  berpeluang mendapat penderma.

“Mungkin ada masyarakat berpendapat derma organ ni akan merosakkan jenazah, sebenarnya tidak kerana kami terima jenazah dalam keadaan yang sempurna,” kongsinya.

Bercerita mengenai kehidupan selepas menjalani pembedahan transplan buah pinggang, Jassica berasa sangat bersyukur kerana berpeluang mendapat penderma organ setelah 14 tahun menghidap penyakit itu.

“Selama tempoh itu, saya perlu menjalani hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu yang mana mengambil masa empat jam bagi proses cuci darah. Lepas itu pula, badan akan rasa sangat lemah dan lemas.

“Saat itu, saya sangat terkenangkan Allahyarham suami kerana dulu dia yang bawa saya ke hospital, jaga saya serta hantar dan ambil ke tempat kerja. Tapi lepas pemergian dia, saya perlu menguruskan semuanya sendiri,” ujarnya sebak.

Namun begitu, sinar hidupnya berubah setelah menjalani pembedahan transplan kerana kini tidak lagi perlu menjalani hemodialisis, kualiti hidup yang semakin meningkat dan apa yang lebih menggembirakan dia adalah nikmat minum air yang tidak lagi perlu dikawal.

“Sebelum transplan dulu, saya hanya dibolehkan minum 500 mililiter air sehari kerana kalau lebih dari itu, badan akan terbeban. Itu merupakan anugerah terindah untuk saya sebab saya boleh cakap, semua pesakit buah pinggang mahu rasa minum air yang banyak tapi tidak semua berpeluang terima organ dan merasa nikmat itu semula,” kongsinya.

Harapan Jassica dan Suchen adalah sama. Sekiranya ada ahli keluarga yang berniat mendermakan organ setelah meninggal dunia, hormatilah permintaan itu selepas pemergian mereka kerana ia tidaklah seteruk apa yang difikirkan malah dapat memberi sinar harapan baharu buat pesakit yang memerlukan.

Ikrar Derma dan Derma Organ
Ketua Koordinator Transplan Negeri di Pusat Sumber Transplan Sabah Hospital Queen Elizabeth, Low Lieh Yong berkata terdapat perbezaan antara pengikrar derma organ dan penderma organ.

TREE OF LIFE…Low menunjukkan Tree of Life di Hospital Queen Elizabeth yang akan memaparkan nama-nama penderma organ di Sabah.

“Ikrar itu cuma mendaftar sahaja. Sebagai penyataan hasrat untuk menderma sekiranya meninggal dunia. Hanya setelah meninggal dunia dan ada organ yang didermakan sahaja baru dipanggil penderma organ.

“Selain itu, kita menggunakan Akta Tisu Manusia 1974 yang menetapkan sekiranya pihak hospital ingin mendapatkan organ daripada penderma, perlu ada keizinan bertulis daripada penderma sendiri sekiranya penderma hidup dan daripada ahli keluarga sekiranya penderma meninggal dunia.

“Bagi penderma hidup pula, hanya hati dan buah pinggang boleh didermakan, tetapi untuk keluarga terdekat sahaja. Manakala untuk yang meninggal dunia, terdapat empat organ yang boleh didermakan iaitu jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang serta empat tisu iaitu mata/kornea, injap jantung, tulang dan kulit,” ujarnya.

Tambah beliau, setiap anggota kesihatan juga memegang amanah dan tanggungjawab menyelamat dan merawat pesakit dan bukanlah berusaha untuk mengambil organ orang yang telah berikrar untuk didermakan.

“Hanya setelah tidak berjaya menyelamatkan seorang pesakit, barulah pihak kesihatan akan memikirkan tentang peluang kepada keluarga pesakit untuk memberi pertimbangan mendermakan organ.

“Selain itu, kebanyakan yang meninggal di hospital juga tidak sesuai menderma organ kerana pendermaan organ perlu meninggal secara mati otak melalui ujian pengesahan sedangkan kebanyakan yang meninggal, jantung yang berhenti terlebih dahulu,” katanya.

“Mati otak adalah keadaan di mana segala fungsi otak telah terhenti dan tidak boleh dipulihkan semula. Seseorang yang telah disahkan mati otak bermakna sudah meninggal dunia dan ini adalah pendirian saintifik perubatan antarabangsa dan juga telah diterima oleh Majlis Fatwa Kebangsaan,” jelasnya.

Ikrar Anda, Harapan Mereka

Mengikut statistik kebangsaan sehingga Jun 2022, terdapat 515,530 orang mendaftar sebagai penderma organ dan hanya lima peratus dari jumlah itu adalah pengikrar dari Sabah.

Pada masa sama, terdapat 10,357 pesakit dalam senarai menunggu transplan kebangsaan pelbagai organ seperti buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru.

Masyarakat yang ingin mendaftar sebagai pengikrar boleh melakukan sedemikian di mana-mana hospital kerajaan atau secara atas talian di laman sesawang www.dermaorgan.gov.my.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya