1,000 ahli WARISAN Tawau sertai BERSATU

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 48 Second

TAWAU: Kira-kira 1,000 ahli dan pemimpin Parti Warisan (WARISAN) bahagian Tawau mengistiharkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah.

Borang keahlian mereka diserahkan kepada Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah dalam satu majlis Makan Malam di sini semalam.

Ahli dan pemimpin WARISAN Tawau itu diketuai oleh Ketua Penerangan WARISAN Tawau, Mohd Norfazly Hassan.

Ketua Bahagian BERSATU Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, seramai enam ketua cawangan WARISAN Tawau mengambil keputusan meninggalkan WARISAN dengan sukarela dan menyertai BERSATU.

“Kita telah menerima kira-kira 1,000 borang keahlian baharu yang terdiri ketua dan ahli daripada enam cawangan parti WARISAN Tawau.

“Mereka secara sukarela menyertai BERSATU Sabah dan tidak mengenakan sebarang syarat kerana menyedari kepimpinan kerajaan sekarang ikhlas membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam Ketua Menteri merangkap Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah bersama pimpinan BERSATU Tawau dan Kalabakan, di sini semalam.

Katanya, keputusan mereka menyertai BERSATU sangat tepat kerana parti ini jelas mempunyai hala tuju untuk membawa rakyat dan negeri Sabah ke arah lebih baik.

“Banyak kejayaan yang dicapai kerajaan Sabah sekarang ini berbanding semasa WARISAN memegang tampuk kepimpinan negeri,” katanya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata pemimpin negeri yang ada sekarang adalah mereka yang banyak bekerja berbanding bercakap.

“Ketua Menteri kita kurang bercakap dan membuat berjanji manis, tetapi banyak bekerja serta terus mencipta kejayaan dalam pembangunan negeri. Kita lihat sekarang banyak kejayaan yang kerajaan negeri perolehi, malah banyak bantuan-bantuan yang diperkenalkan untuk rakyat.

“Justeru, rakyat di negeri ini harus menyokong kepimpinan kerajaan yang ada supaya lebih banyak pembangunan yang boleh dicapai pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Norfazly berkata, Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kini dilihat telah banyak melakukan perubahan bagi membela nasib rakyat.

“Selama kami di WARISAN hampir dua tahun menjadi Kerajaan sebelum ini, kami telah menilai bagaimana pimpinan WARISAN dan setelah kerajaan GRS memimpin, kami melihat telah banyak perubahan dilakukan oleh Ketua Menter kita,” katanya.

Terdahulu, BERSATU cawangan Tawau juga menerima sebanyak 150 keahlian bersekutu daripada masyarakat cina di daerah ini diketuai Lim Ting Khai.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *