ATB 2 tumpaskan cubaan seludup keluar minyak petrol

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

SEMPORNA: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan sebanyak 256 tong minyak petrol di perairan Pulau Omadal dekat sini, kelmarin.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, pasukan Quick Reaction Force (QRF) semasa membuat rondaan telah mengesan dua buah bot pancung yang mencurigakan kira-kira jam 9.00 malam telah berjaya memintas dan menahan bot berkenaan dari arah Tenggara Pulau Omadal menuju ke arah luar sempadan perairan Sabah.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas kedua bot berkenaan, terdapat lima orang awak-awak lelaki, tiga orang bot pertama dan dua orang lagi berada di bot kedua. Kesemua awak-awak tersebut juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah, warga Filipina dan berusia dalam lingkungan 34 hingga 62 tahun.

“Melalui pemeriksaan lanjut mendapati, bot pertama membawa sebanyak 144 tong berkapasiti 25 liter berisi minyak petrol berjumlah 3,600 liter dan bot kedua membawa 112 tong berkapasiti 25 liter minyak petrol berjumlah 2,800 liter dengan.jumlah keseluruhan minyak petrol sebanyak 6,400 liter,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, pasukan QRF telah telah bertindak menunda bot berkenaan ke jeti.untuk diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Zon Maritim Semporna bersama awak-awak bot di atas kesalahan melakukan aktiviti.penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Barang-barang yang turut dirampas adalah dua buah enjin Yamaha 115Hp, dua buah enjin Yamaha 40Hp bersama dua bot dan minyak petrol dianggarkan jumlah keseluruhan yang bernilai RM 165,000.00.

“Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna manakala kesemua suspek dan barang kes diserahkan kepada pihak APMM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Abdul Karim turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan operasi ini kepada anggota dari Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan pasukan QRF yang sentiasa peka dalam keadaan siap siaga melaksanakan tugas Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA di Perairan Pantai Timur Sabah bagi memastikan keselamatan persempadanan negara selamat.

“ATB 2 akan terus memastikan kawasan tanggungjawab di Pantai Timur Sabah sentiasa terpelihara dengan terus memperkasakan pendekatan ‘Precision Information, Precision Targetting and Precision Manouver’ dalam semua aturgerak operasi yang dilaksanakan,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *