HomeUtama8000 pakar perubatan keluarga diperlukan di Malaysia - Noor Hisham

8000 pakar perubatan keluarga diperlukan di Malaysia – Noor Hisham

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU : Kira-kira 8,000 pakar perubatan keluarga diperlukan bagi menempatkan di semua klinik kesihatan termasuk di kawasan pedalaman di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa ini, negara masih kekurangan pakar perubatan keluarga dan dalam kapasiti memang memerlukan lebih kurang 8,000 pakar perubatan keluarga supaya dapat ditempatkan di semua klinik-klinik kesihatan di negara ini.

Noor Hisham (tengah) bersama Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin (tiga kiri) semasa majlsi perasmian Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga ke-24 Peringkat Kebangsaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

“Kita dulu bermula dengan 42 fasiliti yang ada pakar perubatan keluarga tetapi sekarang kita sudah pertingkatkan iaitu melihat kepada spektrum rawatan kepada komuniti kita dan sekarang kita ada hampir 1,100 pakar perubatan keluarga.

“Walau bagaimanapun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus berusaha meningkatkan jumlah pakar perubatan menerusi kerjasama dengan pelbagai kolej perubatan seperti program perubatan Ijazah Sarjana Perubatan Keluarga di universiti tempatan yang boleh melahirkan kira-kira 100 hingga 120 graduan setiap tahun.

“Manakala seramai 300 graduan perubatan keluarga menerusi kolej swasta berjaya dilahirkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga ke-24 Peringkat Kebangsaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, melihat perkembangan pakar perubatan keluarga ini sudah sampai ke klinik-klinik kesihatan dan banyak rawatan-rawatan yang dulu dijalankan di hospital tetapi sekarang boleh diberikan di klinik kesihatan malah ubat-ubatan juga boleh didapati dari klinik kesihatan.

“Kita tidak tumpukan lagi di hospital dan perkembangan perkhidmatan kesihatan ini dapat mengurangkan kesesakan di hospital kerana di klinik kesihatan boleh merawat pesakit serta lebih dekat dengan komuniti tanpa mereka datang ke hospital kecuali kes-kes yang perlu sahaja datang ke hospital.

“Ini dapat memperkasakan perubatan keluarga terhadap komuniti, inilah konsep yang kita guna pakai,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berharap KKM mendapat tambahan peruntukan dari pihak kerajaan untuk menaiktaraf klinik-klinik yang usang dengan klinik yang lebih baik.

“Peruntukan sekarang ini lebih kurang dua peratus, kita minta tambahan lima peratus contohnya kalau dapat 20 bilion kita akan melihat kepada klinik-klinik yang usang dan kita akan ganti dengan klinik yang lebih baik dan kita juga tempatkan pakar perubatan keluarga di klinik tersebut, serta ubat-ubatan pun kita akan berikan sekiranya kita ada pakar perubatan di situ,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular