Berkerusi roda bukan halangan untuk berjaya

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU : Kekurangan diri bukanlah penghalang buat seorang pelajar yang berstatus  sebagai orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal untuk meneruskan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Norsahara Ali Hassan,20, yang mengikuti pengajian dalam bidang Program Kerja Sosial di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS bertekad mahu belajar dengan lebih baik sepanjang pengajian meskipun bakal menghadapi pelbagai cabaran di kampus.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, beliau terpaksa menggunakan kerusi roda selepas menghadapi masalah saraf tunjang yang dialaminya sejak tujuh tahun lalu.

“Keadaan saya sebenarnya (tidak dapat berjalan) selepas  saya menjalani pembedahan tulang belakang disebabkan oleh scoliosis.

“Selepas saya lakukan pembedahan, saya mengalami masalah saraf tunjang yang menyebabkan saya tidak dapat untuk berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pendaftaran Kolej Kediaman Pelajar Baharu sempena Minggu Suai Mesra sesi 2022/2023 kali ke-28 di sini hari ini.

Pelajar berasal daripada Beaufort itu berkata, masalah yang dihadapi itu berlaku pada sekitar tahun 2015 dan sehingga kini masih melakukan rawatan lanjut termasuk rehabilitasi.

“Saya berharap, sepanjang pengajian di UMS, saya akan dapat belajar dengan lebih baik selain dapat menjalankan pelbagai aktviti sepanjang saya berada di kampus ini.

“Meskipun berkerusi roda, saya akan cuba untuk hadapi semua ini dengan baik serta bantuan rakan-rakan lain, saya juga percaya pihak universiti akan memastikan kebajikan pelajar khususnya seperti saya akan sentiasa dijaga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan OKU UMS, Dr Zaiton Mohamad berkata, sehingga kini seramai 55 orang pelajar OKU mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di UMS.

Katanya, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan kebajikan mahasiswa OKU di UMS sentiasa terjaga.

Pengarah Pusat Pengurusan OKU UMS, Dr Zaiton Mohamad

“Antaranya ialah kemudahan diskaun yuran sebanyak 50 peratus, mesin braille, dan kita juga sediakan sebuah van khas buat mereka.  Oleh itu, mereka tidak perlu berebut untuk menaiki bas, mereka hanya perlu menyediakan jadual pergerakan mereka dan van tersebut akan membantu mereka untuk pergi ke destinasi.

“Selain itu, bagi kemudahan di kediaman, ia dilengkapi dengan ramp,laluan bercorak timbul (tactile) serta fasiliti tandas yang luas,” katanya.

Beliau berkata, golongan OKU yang ingin menyambung pengajian ke UMS agar tidak risau mengenai fasiliti dan kemudahan yang disediakan di universiti berkenaan.

“Di UMS semua ada, jadi untuk mereka yang golongan OKU yang ingin melanjutkan pengajian agar tidak risau tentang fasiliti dan kemudahan yang disediakan.  Kita juga menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *