Kim Swee kekal mahu bawa Sabah FC ke pentas Piala AFC

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

JOHOR BAHRU: Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee kekal dengan sasaran untuk membawa skuad Badak ke pentas Piala AFC musim depan meskipun gagal menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua selepas tewas 0-3 kepada  Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Sabah FC perlu merebut slot terakhir yang ditawarkan pada saingan Piala Malaysia yang akan menutup tirai pada 25 Oktober ini.

Kim Swee berkata, ia merupakan sasarannya untuk ditunaikan meskipun pihak pengurusan meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok lima terbaik ketika beliau menggalas tugas sebagai ketua jurulatih.

“Kalau bukan kerana kekeliruan pasukan mana yang akan layak ke Piala AFC, saya rasa hari ini saya, pihak pengurusan dan pemain sudah bersorak kegembiraan berbanding berada dalam situasi ini.

“Sepatutnya, kita sudah layak sekiranya tidak ada masalah di saat terakhir. Kita masih belum putus asa, ada saingan Piala Malaysia untuk kita lalui dan cuba bagi capai matlamat seberapa jauh kita boleh pergi,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Skuad kendalian Kim Swee itu perlu memenangi saingan Piala Malaysia sekiranya mahu merebut slot terakhir ke Piala AFC pada musim depan.

Bagaimanapun skuad Badak akan melalui laluan agak sukar dan dijangka sekali lagi akan bertemu JDT pada peringkat separuh akhir jika melepasi pusingan 16 dan suku akhir.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai perlawanan menentang JDT, Kim Swee berkata, pasukannya berdepan kekurangan pemain yang mampu menggalas tugas setanding pemain utama.

“Kita tahu bukan mudah untuk bermain dengan pasukan JDT. Apa yang dibuktikan oleh JDT selama musim ini tanpa kalah dan saya rasa mereka berhak untuk menang dan daripada segi corak permainan kita tidak bermain seperti mana yang kita selalu bermain.

“Mereka tahu ramai pemain Sabah  tidak dapat beraksi pada malam ini dan kita kekurangan ‘depth’ dan di situ membuktikan kelemahan kita namun bagi saya untuk mendapatkan tempat ketiga pada musim ini merupakan satu pencapaian yang cukup baik untuk pasukan Sabah,” katanya.

Pada aksi menentang skuad Harimau Selatan, impian Sabah FC musnah selepas Bergson Da Silva berjaya meledak dua jaringan pada minit ke-16 dan minit ke-55 manakala Arif Aiman Hanapi turut mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-39.

Sabah FC bakal bertemu UiTM FC pada saingan Piala Malaysia bagi pusingan 16 sebelum layak ke suku akhir.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *