PRU-15 : GRS, BERSATU Beluran sedia pertahan kerusi Parlimen

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

BELURAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya di Bahagian Beluran kini berada pada tahap siapsiaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bahagian itu mlalui BERSATU telah melengkapkan semua jentera pilihan raya di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Katanya, semua 38 PDM telah bersedia dan beliau gembira dengan tahap kerjasama yang diberikan antara parti-parti komponen yang ada di dalam GRS Parlimen Beluran.

Beliau turut yakin dengan kerjasama yang diberikan akan dapat memberi peluang yang lebih baik dan cerah kepada GRS untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beluran pada PRU-15.

“Beluran perlu dikekalkan.  Sebelum ini kita pernah menjadi wakil rakyat pembangkang selepas 2018 dan ia mengajar rakyat khususnya di Beluran untuk terus menyokong Kerajaan bagi meraih pembangunan atau meningkatkan lagi tahap sosio pembangunan di kawasan ini.

“Kawasan ini merupakan kawasan luar bandar yang terpencil dan masih kekurangan dari segi infrastuktur dan memerlukan sentuhan daripada Kerajaan bagi membawa hasrat dan aspirasi kawasan ini untuk mendapat kesamarataan dalam pelbagai aspek pembangunan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Beluran di Dewan Serbaguna Daerah Beluran di sini hari ini.

Ronald yang juga Ketua Bahagian BERSATU Beluran berkata, GRS juga merupakan satu gabungan politik yang baharu dan kini disokong sebahagian besar rakyat di negeri ini.

“Saya yakin dengan adanya gabungan antara parti-parti dalam GRS khususnya di Beluran akan dapat berhadapan dengan lawan bagi mempertahankan kerusi Parlimen.

“Adalah menjadi tugas ahli parti keseluruahnnya dan komponen parti-parti agar kerusi ini dekat dengan Kerajaan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *