HomeIsu tempatanUMS giat laksana penyelidikan berkaitan Program Pembentukan Keluarga Bahagia

UMS giat laksana penyelidikan berkaitan Program Pembentukan Keluarga Bahagia

Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini giat menjalankan penyelidikan berkaitan Program Pembentukan Keluarga Bahagia sebagai Pendekatan Holistik dalam Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Gam dan Bahan Terlarang di Sabah.

Ketua projek merangkap Felo Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Prof. Madya Dr. Azizi Yahaya berkata, penyelidikan itu menerima geran luar sebanyak RM245,840 daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah.

“Secara amnya, projek penyelidikan ini dijalankan untuk membentuk modul keluarga bahagia dalam kalangan penagih dadah bagi membantu pengawasan dari aspek merancang masa depan, perkembangan diri, serta sumbangan kepada keluarga.

“Selain itu, ia turut memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya di kawasan berisiko tinggi bahawa penagih dadah dalam pengawasan mampu memberi sumbangan kepada komuniti, di samping dapat mengurangkan penyalahgunaan dadah dengan strategi yang dilaksanakan.

“Projek penyelidikan ini diharapkan dapat menjadi satu penyelesaian permasalahan dadah yang harus diperangi secara tegas dan bersepadu agar tidak merebak dan mencapai satu tahap epidemik,” katanya.

Azizi berkata demikian kepada media selepas Bengkel Perkongsian dan Kerjasama Bersama Rakan Strategik berkaitan penyelidikan tersebut di sini, pada Sabtu.

Program sehari itu turut dihadiri Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPP, Prof Madya Dr Muhammad Idris Bullare @ Bahari.

Hadir sama Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) UMS, Dr. Jakaria Dasan selaku penceramah utama dengan tajuk Impak dan Keberkesanan Program Pemindahan Ilmu.

Dalam pada itu, Idris yang juga penyelaras program memberitahu, penganjuran bengkel itu sebagai salah satu sub-program perkongsian dan kerjasama pintar bersama rakan strategik bagi memberi input kepada kumpulan penyelidik.

“Modul yang dihasilkan nanti diharap dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, kestabilan sosio-ekonomi, ketahanan nasional dan pembangunan negara yang berterusan sekali gus merealisasikan matlamat Negara Malaysia Bebas Dadah,” ujar beliau.

Bagi Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, beliau memaklumkan pemberian geran penyelidikan daripada AADK adalah satu pengiktirafan besar kepada kepakaran para penyelidik UMS.

“Sebagai sebuah gedung ilmu yang menghimpunkan para pemikir intelek dan tenaga akademik profesional, sudah tentu salah satu tujuan kewujudan UMS adalah untuk memasyarakatkan ilmu bagi mengangkat tamadun bangsa dan masyarakat setempat.

“Dalam hal ini, UMS memberi komitmen penuh menjayakan kajian penghasilan modul keluarga bahagia sebagai rujukan dan panduan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, gam dan bahan terlarang di Sabah.

“Program pemindahan ilmu ini juga menitikberatkan pembinaan kapasiti modal insan bagi memastikan ia sentiasa seiring dengan hala tuju Pelan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Untuk rekod, penyelidikan Program Pembentukan Keluarga Bahagia sebagai Pendekatan Holistik dalam Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Gam dan Bahan Terlarang di Sabah telah dimulakan pada 01 September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 01 Mac 2023.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya