PRU15: Shahelmey sedia tanding sekiranya dicalonkan kerusi Parlimen

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Datuk Shahelmey Yahya berkata, beliau bersedia untuk bertanding sebagai calon kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15) di negeri ini sekiranya diberi peluang oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional.

https://youtu.be/aIxAwN5ZqMw

“Kalau diberi peluang untuk menggalas ataupun dijadikan calon untuk kerusi Parlimen, saya akan bersedia seterusnya akan mewakili kawasan yang diberikan tetapi ini semua tertakluk kepada pengumuman pemilihan calon daripada parti saya, Barisan Nasional.

“Buat masa ini belum ada pengesahan lagi dan belum ada pengumuman, kita akan tunggulah pengumuman yang akan dibuat dalam sedikit masa lagi,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Program Latih Amal Simulasi Pusat Pemindahan Sementara yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah di Pusat Kebudayaan Penampang dekat sini hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata, sekiranya diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti (Barisan Nasional), ianya satu pengiktirafan dan juga amanah yang perlu dipikul yang memastikan bahawa ia boleh menyumbang satu kerusi kepada parti bagi tujuan menubuhkan kerajaan stabil dan makmur.

“Dan sekiranya diberi peluang, sudah semestinya saya pilih Putatan tetapi semuanya terpulang kepada pucuk pimpinan parti Barisan Nasional,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu kerusi Parlimen P.173 Putatan dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Awang Husaini Sahari dengan majoriti 2,339 dari 14,106 jumlah undi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shahelmey berkata, sebanyak 223 buah pusat pemindahan sementara telah dikenal pasti di seluruh Negeri Sabah dan kapasiti boleh memuatkan 124 ribu mangsa bencana dalam sesuatu masa.

“Program Latih Amal Simulasi Pusat Pemindahan Sementara ini sebagai persediaan kita dalam menghadapi kesan Monsun Timur Laut dijangka melanda negeri kita di Sabah pada akhir bulan ini sehingga Mac 2023.

‘Dalam kesibukan kita melakukan persediaan mengadakan mesyuarat, pembentukan-pembentukan jawatan kuasa latih amal ini juga merupakan sesuatu aktiviti yang bertepatan kerana ianya dapat mempraktikkan apa juga persediaan yang kita lakukan.

“Untuk jabatan dibawah Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat iaitu di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, tugas jabatan ini secara langsung pada sesuatu kejadian bencana adalah untuk memastikan bahawa proses pendaftaran mangsa-mangsa bencana dapat dibuat dengan efektif dan efisien di pusat pemindahan sementara.

“Pusat ini juga akan menyediakan pelindungan, makanan seterusnya menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa-mangsa banjir atau bencana yang mungkin menghadapi trauma dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, jawatan kuasa pusat kawalan bencana-bencana yang terlibat dan petugas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah serta sukarelawan kebajikan terhadap simulasi pengurusan Pusat Pemindahan Sementara ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *