UWSS tangani masalah air bahagian utara Kota Kinabalu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 48 Second

TUARAN: Kerajaan Negeri telah melaksanakan dua projek Skim Bekalan Air Segera (UWSS) di Loji Rawatan Air Telibong I dan II sebagai langkah segera untuk menangani masalah air di bahagian utara Kota Kinabalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sedang diberi taklimat mengenai projek UWSS di Loji Rawatan Air Telibong I oleh Pengarah Jabatan Air Baharuhom KK Sogon dan Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Ahmad Naim Uddang di Tamparuli hari ini. – Foto ihsan JKM

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, UWSS pertama yang dijalankan oleh Jetama Sdn Bhd di Loji Rawatan Air Telibong I, Tamparuli telah siap pada 12 Oktober dan akan beroperasi sepenuhnya pada Disember tahun ini.

“Satu lagi projek UWSS kini sedang dilakukan di Loji Rawatan Air Telibong II, dijangka siap antara Februari dan Mac tahun depan,” katanya selepas taklimat dan lawatan tapak ke Loji Rawatan Air Telibong I hari ini.

Projek UWSS Telibong I melibatkan pembinaan loji rawatan pakej air dengan kapasiti 5mld (juta liter sehari) untuk meningkatkan kapasiti loji kepada 80mld.

Ia akan beroperasi sepenuhnya sebaik sahaja pemasangan paip agihan sepanjang 1.8km selesai.

Pengarah Jabatan Air Baharuhom KK Sogon dalam taklimatnya kepada Ketua Menteri sebelum ini berkata projek Telibong I UWSS akan menyediakan bekalan air tambahan kepada 25,000 penduduk bagi menangani masalah bekalan air di Tuaran dan Tamparuli.

Ia juga akan membolehkan lebihan bekalan air diagihkan kepada isi rumah di Manggatal dan Telipok.

Beliau berkata projek Telibong II UWSS akan meningkatkan kapasiti bekalan air di loji rawatan sebanyak 10mld lagi.

Ketua Menteri berkata perancangan sistematik ini diharap dapat menambah baik bekalan air di bahagian utara Kota Kinabalu kerana ia akan meningkatkan pengeluaran air sejumlah 15mld.

Dalam pada itu, Hajiji mengarahkan Jabatan Air menambah catuan air berjadual di kawasan yang terjejas teruk akibat kekurangan air.

Kerajaan Negeri kini sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan selama enam bulan untuk membina Loji Rawatan Air 1,000mld di bawah Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa III sebagai langkah jangka panjang untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Juri dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *