HomeSukanPenggunaan VAR perlu kajian menyeluruh, tidak digunakan dalam masa terdekat – MFL

Penggunaan VAR perlu kajian menyeluruh, tidak digunakan dalam masa terdekat – MFL

Read Time:1 Minute, 28 Second

BERNAMA

PETALING JAYA : Penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) masih memerlukan kajian mendalam sebelum boleh diguna pakai secara meluas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam.

Beliau menjelaskan terdapat beberapa kekangan untuk melaksanakan penggunaan teknologi tersebut dalam tempoh terdekat kerana ia tidak hanya tertumpu kepada aspek pegawai perlawanan tetapi turut menuntut penyediaan infrastruktur di sesebuah stadium.

“Isu VAR ini bukan semata-mata untuk kita adakan dalam satu perlawanan sahaja. Pegawai perlawanan perlu dilatih serta persediaan infrastruktur di stadium itu sendiri selain melibatkan kos yang tinggi.

“Kita juga melihat kepada aspek pengadilan dalam bola sepak itu secara menyeluruh…tidaklah tiba-tiba masa perlawanan akhir sahaja kita hendak gunakan. Jadi, tidak bermaksud ia boleh dilaksanakan dengan begitu sahaja,” katanya pada majlis pengumuman syarikat minuman Origina selaku penaja Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023, di sini semalam.

Stuart berkata teknologi VAR yang pertama kali digunakan di Malaysia ketika perlawanan akhir Piala AFC antara KL City FC dan kelab dari Oman, Al-Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas, juga tidak sewenang-wenangnya boleh digunakan di stadium lain.

“Benda (VAR) ini memerlukan masa kerana stadium itu bukan hak milik pasukan tetapi hak milik perbadanan stadium ataupun mungkin kerajaan negeri, sebelum VAR ini boleh dijalankan dengan sempurna.

“Kalau kita lihat perlawanan di stadium kadang-kadang akan ada masalah Internet. Jadi kalau kita nak gunakan teknologi ini hanya di Stadium Bukit Jalil tidak adil. Kita perlu lihat stadium lain seperti di Alor Setar, Kota Bharu ataupun mana-mana stadium untuk pastikan penyediaan infrastruktur itu,” katanya.

Stuart dalam pada itu berkata biapun isu VAR bukan di bawah bidang kuasa MFL, pihaknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kekal komited dalam memperbaiki mutu pengadilan dalam liga domestik supaya tidak berhadapan sebarang masalah.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC perlu penyerang baharu, atasi bahagian serangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular