Pandikar turun padang bantu kempen Calon GRS Parlimen Sipitang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

Oleh NORMIMIE DIUN / Video YUSOF MOHAMAD

LUMADAN: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia turun padang membantu mengadakan kempen bersama untuk Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) P.178 Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah di Padas Valley di sini pada Rabu.

Pandikar dalam ucapannya, menyeru kepada semua parti-parti politik di negeri ini supaya duduk sama-sama memajukan Sabah untuk kepentingan rakyat, bukan mengelirukan rakyat dan sama-sama menentang kuasa-kuasa ghaib yang memporak-poranda negeri ini.

“Saya menyeru kepada ahli-ahli Warisan supaya berubah dan mengundi parti GRS pada hari mengundi nanti,” katanya.

Pandikar berkata, kehadiran beliau adalah untuk memastikan kemenangan di Parlimen Sipitang dengan majoriti yang besar kerana GRS merupakan sebuah kerajaan yang stabil dapat memberikan pembangunan kepada negeri ini.

Sementara itu, Matbali meluahkan rasa terharunya kepada Tan Sri Pandikar bersama-sama ahli Usno yang juga parti komponen GRS kerana sudi datang dari Kota Belud ke Parlimen Sipitang semata-mata untuk membantu berkempen demi memastikan kemenangan di pihaknya

Program kempen dianjurkan oleh Ketua Cawangan Usno Lumadan, Datuk Ali Dad Fazal Elahi. Turut hadir ahli-ahli komponen parti GRS iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Maju Sabah (SAPP) serta ahli-ahli Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Matbali turut merayu kepada rakyat di Parlimen Sipitang, pada 19 November ini bersama-sama mencetuskan ilham kepada anak-anak berumur 18 tahun iaitu pengundi muda untuk mengundi calon GRS dan memastikan kemenangan dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Pastikan undi calon nombor satu (Matbali) dan seterusnya menjadi juara di kerusi Parlimen Sipitang,” ujarnya sambil menambah bahawa beliau adalah dari golongan marhaen jadi beliau faham apa yang rakyat mahu di parlimen itu.

Terdahulu, Matbali mengadakan perjumpaan santai bersama rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Hulu, Weston pada hari yang sama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *