Peruntukan RM54 juta kepada masyarakat Cina tahun depan -Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 15 Second

TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan peruntukan sebanyak RM54 juta bagi membantu sekolah-sekolah Cina dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di Sabah, pada tahun depan.

Beliau mengumumkan perkara itu pada Majlis Makan Malam bersama Komuniti Cina Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, malam tadi.

Penambahan sebanyak RM7 juta itu berbanding RM47 juta pada tahun ini, katanya adalah sejajar dengan komitmen padu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) untuk memastikan keperluan masyarakat itu terus diberi
keutamaaan.

“Saya berharap bantuan yang diagihkan atas keprihatinan Kerajaan negeri itu akan dapat meringankan beban dalam membangun dan membaiki sekolah serta rumah ibadat bukan Islam di negeri ini.

“Ini sekali gus akan memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di peringkat akar umbi. Kerajaan negeri sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek serta sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama.

“Sejak menerajui negeri ini, saya telah memberi peruntukan yang besar kepada masyarakat Cina bagi membantu dalam aspek pendidikan serta badan keagamaan bukan Islam. Tiada istilah pilih kasih dalam memberi bantuan dan kita akan membantu mengikut keperluan rakyat di negeri ini,” katanya.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu merangkap calon GRS bagi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15); Pembantu Menteri Kewangan merangkap ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan Penaung Persatuan Pemangkin Komuniti Sabah (PKOMS), George Teo.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, masyarakat Cina mempunya banyak kelebihan terutama dalam perniagaan.

“Kepentingan masyarakat Cina termasuk berkaitan sekolah dan kebudayaan tetapi kita utamakan di bawah kerajaan GRS-BN. Sokongan padu masyarakat Cina di Sabah kepada kerajaan GRS-BN pada PRU15 ini akan menjamin kesejahteraan masyarakat itu terus diperjuangkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di Tuaran agar terus memberi sokongan kepada calon GRS Parlimen Tuaran, untuk memastikan kemenangan calon berkenaan pada PRU15.

“Jangan sia-siakan undi kita, pesan kepada anak-anak kita untuk menjadi pengundi yang bijak dan matang. Beliau (Datuk Joniston) adalah calon kerajaan yang memerintah dan berilah peluang kepada kerajaan GRS-BN pada pilihan raya ini,” katanya.

Hajiji turut menjelaskan dalam dua tahun memerintah, banyak yang telah berjaya dilakukan oleh GRS-BN, terutama dalam usaha pemulihan ekonomi negeri selepas
pandemik COVID-19.

“Pendekatan mesra pelabur yang kita laksanakan membawa ramai pelabur asing dan tempatan ke Sabah, malah ramai duta dan pesuruhjaya dari negara Arab turut bertemu dengan saya untuk melialhat peluang pelaburan di negeri ini.

“Kehadiran ramai pelabur dan pembukaan kilang, akan memberi banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak kita di Sabah. Mereka tidak perlu lagi ke luar negara atau Semenanjung untuk mencari rezeki,” katanya sambil meminta rakyat akan terus memberi sokongan kepada kepada kerajaan GRS-BN.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *