Maritim Malaysia tahan bot kargo, bawa pelbagai barangan kawalan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan yang membawa muatan pelbagai barang kawalan serta produk kosmetik tanpa permit pada Isnin lalu kira-kira jam 3.40 petang.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam rondaan yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Jeti Pelabuhan Tawau tersebut mendapati dua lelaki,masing-masing seorang warga tempatan berusia 45 tahun bertindak selaku juragan bersama seorang lelaki warga Indonesia berumur 35 tahun sebagai pembantu juragan membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot tersebut.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut telah menemukan pelbagai barang kawalan berjadual iaitu 1,776 kilogram gula pasir, 867 kilogram minyak masak peket, 375 liter minyak petrol serta enam tong gas berisi LPG yang disembunyikan dibawah timbunan barang-barang runcit.

“Pemeriksaan juga turut menemukan sejumlah besar produk-produk kosmetik pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, pemeriksaan ke atas dokumentasi seterusnya mendapati juragan tersebut gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan dan produk kosmetik yang dibawa.

Katanya, bot, muatan serta kedua-dua kru bot tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan, disitadengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM115,000.

“Statistik tangkapan Zon Maritim Tawau terkini merekodkan 55 kes pelbagai kesalahan dimana 10 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak awal Januari 2022.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah(ESSZONE),” katanya.

Katanya, orang ramai turut diseru untuk menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat OperasiZon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *