Cubaan seludup minyak masak bersubsidi gagal

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barang kawalan bersubsidi selepas berjaya merampas 1,870 kilogram minyak masak.

Barang kawalan bersubsidi itu cuba diseludup menggunakan dua buah bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran yang ditahan di kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika selatan Perairan Felda Sahabat, Lahad Datu Sabah jam 1.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, operasi yang dijalankan itu adalah berdasarkan maklumat awal risikan tentang aktiviti penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

Katanya, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan operasi penguatkuasaan telah menahan bot berkenaan.

“Anggota penguatkuasa menahan dua bot enjin sangkut itu selepas mendapati bot-bot tersebut dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran anggota penguatkuasa, tekong bersama awak-awak berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut dan naik di daratan terdekat sewaktu bot merapat ke lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 52,903 termasuk nilai subsidi ditanggung oleh pihak kerajaan berjumlah RM 8,228.

Menurutnya lagi, aktiviti penyeludupan minyak masak ini akan menyebabkan 1, 700 keluarga terkesan jika diperuntukkan dua kilogram untuk satu keluarga.

“Minyak masak bersubsidi ini diberikan berdasarkan kebenaran dan dibawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Hasil tangkapan tersebut diserahkan kepada Unit Siasatan Zon Maritim Lahad Datu dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu.

Menurut beliau lagi, orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *