Maximus sihat untuk bertanding

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA MARUDU: Penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili kekal tenang walaupun diserang secara peribadi oleh pihak lawan beliau sepanjang tempoh kempen.

Komen yang menggelar beliau “orang sakit” dan menggesa untuk bersara, tidak pernah melunturkan semangat Presiden Parti Bersatu Sabah ini untuk terus berkempen.

Beliau sempat berseloroh dengan penyokong ketika berkempen sambil berkata: “Ya, saya sudah berusia 69 tahun, tetapi saya masih boleh lari jika ada anjing mengejar,” sambil membuat isyarat berlari di atas pentas.

Selain itu, beliau juga memberi jaminan kepada penyokong bahawa beliau telah mendapatkan nasihat perubatan sebelum membuat keputusan untuk menyertai pertandingan itu.

“Sebelum buat keputusan (untuk bertanding), saya telah membuat pemeriksaan kesihatan, pergi ke IJN (Institut Jantung Negara) dan berbincang dengan pakar. Syukur kepada Tuhan, mereka memberitahu saya bahawa saya cukup sihat untuk berkempen.

“Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, saya juga amat bersedia untuk berkhidmat untuk anda semua,” ujar Maximus, yang diserang angin ahmar pada Julai 2020, kepada penyokong yang datang ke sesi ceramah beliau.

Maximus, yang mengibarkan bendera Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bertanding dalam enam penjuru, yang mana empat lawannya daripada parti politik dan seorang bebas, untuk bersaing merebut kerusi Parlimen Kota Marudu.

Beliau ditentang Datuk Wetrom Bahanda dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Sharizal Denci (MUDA), Datuk Jilid Kuminding (Parti Warisan Sabah), Mohd Azmie Zulkiflee dari Pejuang Tanah Air dan calon bebas tunggal, Norman Tulang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *