SEMPORNA: Penerimaan pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN) Dun Bugaya, Abd Aziz Mohd Ibno pada ketika ini sangat baik, kata Pengarah Jentera BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Semporna, Abdul Manan Indanan.
Menurutnya, sokongan penduduk juga dilihat positif terhadap calon GRS, Nixon Abd Habi bagi kerusi Parlimen Semporna sejurus disahkan sebagai calon di kerusi itu menentang Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan dua calon lain.
“Selepas penamaan calon ramai yang menawarkan diri untuk menjadi petugas kita dan sebenarnya jentera kita ini telah disusun dan berada dalam keadaan terbaik sejak berdepan kekalahan pada pilihan raya lepas,” katanya ketika ditemui di sini.
Abdul Manan berkata, semua ahli jentera akan bergerak membantu kedua-dua calon dan setiap malam mesyuarat akan diadakan untuk memastikan segala kekurangan dan isu yang perlu penambahbaikan dapat tindakan segera.
“Setakat ini semuanya lancar kerana kita ada Pusat Command Center, ada War Room dan keseluruhan jawatankuasa berfungsi sepenuhnya,” katanya lagi.
Di tanya mengenai potensi kemenangan kedua-dua calon berkenaan, Abdul Manan berkata tidak ada calon yang mahu kalah dalam setiap persaingan.
“Ramai yang bercakap mustahil parti lain untuk menang dan kita memang dengar banyak cerita kekuatan Datuk Shafie di kerusi ini namun sebagai Pengarah Jentera kita hanya mampu berusaha sebaik mungkin, mengelak untuk melakukan kesalahan.
“Lagi pula pilihan raya ini adalah berkaitan kebijakan pengundi jadi kita serahkan kepada mereka untuk menentukan pemimpin yang mereka mahukan kerana setiap pengundi itu punya kriteria tertentu sebelum memilih calon,” ujarnya.